MOSCOW: Rusia mendakwa Amerika Syarikat jelas tidak sedia meneliti isu kebimbangan keselamatan utama berkaitan ketegangannya dengan Ukraine.

Bagaimanapun Kremlin akui, Washington terbuka untuk rundingan lanjutan.

AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengemukakan reaksi bertulis terhadap tuntutan yang dikemukakan Rusia sebelum ia mengundurkan tentera berhampiran sempadan Ukraine.

Tindakan menempatkan sebahagian besar tentera di lokasi berkenaan telah mencetuskan provokasi dalam kalangan negara barat.

Menurut jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti reaksi Washington.

Namun beliau menyifatkan kenyataan NATO dan Amerika Syarikat yang menggambarkan tuntutan Rusia sebagai tidak boleh diterima, tidak banyak membantu mengurangkan ketegangan.

Sementara itu, Kementerian Luar Rusia memaklumkan kaedah terbaik mengurangkan ketegangan adalah dengan pengunduran tentera NATO dari timur Eropah.

Tuntutan keselamatan Rusia dikemukakan Disember lalu.

Antara lain ia menuntut NATO hentikan usaha meluaskan pengaruh, menyekat penyertaan Ukraine ke NATO dan pengunduran tentera pakatannya dari timur Eropah.