PRESIDEN Amerika Syarikat Joe Biden berkata pada Khamis, ancaman pencerobohan Rusia ke atas Ukraine adalah "sangat tinggi" tetapi pintu kepada penyelesaian diplomatik masih terbuka.

Katanya, setiap petunjuk yang ada menyatakan, Rusia bersedia untuk ke Ukraine dan menyerang negara itu.

Ditanya sejauh mana ancaman pencerobohan Rusia pada masa ini, Biden berkata, "ia sangat tinggi."

Beliau menambah, pencerobohan itu akan berlaku dalam beberapa hari akan datang.

Jelasnya, Rusia tidak memindahkan pasukannya dari sempadan Ukraine dan Amerika Syarikat dan mempunyai sebab untuk mempercayai Rusia terlibat dalam operasi bendera palsu yang akan digunakan Moscow untuk mewajarkan pencerobohan.

Rusia - Ukraine | Ancaman pencerobohan sangat tinggi - Biden

Bagaimanapun, Biden berkata, penyelesaian diplomatik masih mungkin dicapai dan oleh itu, beliau meminta Setiausaha Negara Antony Blinken membuat kenyataan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Biden berkata, setakat ini beliau tidak merancang untuk bercakap dengan Presiden Rusia Vladimir Putin.