Skip to main content

Dunia

Konflik Selatan Thai: BRN gesa perkukuh rundingan damai

Sumber: Adobe Stock
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Sekretariat Rundingan Damai BRN berkata, perkembangan mutakhir di kawasan konflik mencerminkan bahawa situasi keselamatan masih rapuh walaupun proses damai terus berjalan. - Foto REUTERS
Advertisement

KUALA LUMPUR: Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) menggesa usaha memperkukuh rundingan damai dipercepatkan susulan peningkatan ketegangan dan operasi ketenteraan di wilayah konflik Patani yang disifatkan masih belum menunjukkan tanda-tanda penyelesaian berkekalan.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Sekretariat Rundingan Damai BRN berkata, perkembangan mutakhir di kawasan konflik mencerminkan bahawa situasi keselamatan masih rapuh walaupun proses damai terus berjalan.

"Sekretariat Rundingan Damai BRN memandang serius perkembangan mutakhir ini yang menyaksikan peningkatan tindakan ketenteraan kawasan konflik di Patani. Keadaan ini mencerminkan bahawa konflik masih berterusan dan belum menunjukkan tanda-tanda penyelesaian yang mampan," menurut kenyataan itu.

BRN mendakwa perjuangannya yang bermula sejak 2004 kini memasuki tahun ke-23, sambil menegaskan operasi kumpulan itu menyasarkan angkatan bersenjata Thailand, kumpulan yang dipersenjatai kerajaan Thailand serta projek yang didakwa menjejaskan kehidupan masyarakat Patani.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa BRN menghormati dan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa (International Humanitarian Law).

Sehubungan itu, BRN menggesa orang awam supaya mengutamakan keselamatan diri dengan mengelakkan kawasan yang berpotensi menjadi lokasi operasi bersenjata.

Selain itu, kumpulan berkenaan turut menggesa masyarakat supaya tidak melibatkan diri dalam pasukan keselamatan kerajaan Thailand atau mengambil sebarang peranan yang boleh ditafsirkan sebagai menyokong operasi keselamatan kerajaan.

Menurut BRN, peningkatan ketegangan dan keganasan di kawasan konflik ketika ini berpunca daripada kurangnya kemajuan dalam proses rundingan damai.

"BRN menegaskan bahawa rundingan damai merupakan alternatif yang tepat untuk membawa kepada penyelesaian konflik secara bermaruah, adil dan berkekalan. Penyelesaian konflik di Patani melalui solusi politik adalah satu pendekatan yang berupaya menamatkan konflik bangsa Patani dengan Kerajaan Thai demi mewujudkan perdamaian dan keamanan yang hakiki," katanya.

Dalam kenyataan sama, BRN turut menghargai peranan Malaysia sebagai fasilitator proses rundingan damai dan menyifatkan penglibatan komuniti antarabangsa sebagai penting dalam membantu mencari penyelesaian kepada konflik yang berpanjangan.

"BRN amat menghargai peranan Kerajaan Malaysia sebagai fasilitator proses rundingan damai... BRN berharap rundingan damai ini dapat diperkukuhkan dengan sokongan padu dari seluruh komuniti Patani demi mencapai kemajuan dalam usaha untuk menamatkan konflik ini," menurut kenyataan itu.

 

 

Must Watch Video

Advertisement