DUNIA
Konflik Thailand-Kemboja: Phumtham sahkan kerjasama dengan Malaysia tangani krisis

Phumtham Wechayachai (tengah) berkata kerajaan dan tentera sedang berunding dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN, untuk mencapai penyelesaian. -Foto Facebook
BANGKOK: Kerajaan Thailand sedang mempercepatkan usaha rundingan antarabangsa bagi meredakan ketegangan di kawasan sempadan Thailand-Kemboja serta membantu mangsa konflik dengan segera.
Ringkasan AI
- Thailand mempercepatkan rundingan antarabangsa melalui ASEAN, dengan Perdana Menteri Malaysia dijadual berunding dengan Kemboja terlebih dahulu sebelum membawa hasilnya kepada Thailand.
- Phumtham menuduh Kemboja melakukan serangan roket ke kawasan awam yang menyebabkan kematian dan kecederaan, serta melanggar undang-undang antarabangsa secara jelas.
- Thailand mengambil tindakan diplomatik tegas termasuk mengusir diplomat Kemboja, memperluaskan skim bantuan kepada mangsa, dan bersedia bertindak secara ketenteraan dan pentadbiran bagi mempertahankan kedaulatan negara.
Beliau menjelaskan bahawa Anwar akan berunding terlebih dahulu dengan Perdana Menteri Kemboja sebelum membawa hasilnya ke pihak Thailand.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pagi tadi di Kementerian Dalam Negeri Thailand.
Sementara itu, dalam ucapannya, Phumtham menyifatkan serangan roket ke arah kawasan awam sebagai tindakan provokatif oleh Kemboja.
Menurutnya, serangan itu telah mengakibatkan kematian dan kecederaan serius dalam kalangan rakyat Thailand, serta melanggar undang-undang antarabangsa secara jelas.
“Perbuatan Kemboja menunjukkan niat menyerang dan melanggar prinsip undang-undang antarabangsa. Mereka perlu bertanggungjawab," kata beliau.
Phumtham menegaskan bahawa Thailand akan bertindak balas secara menyeluruh – baik secara ketenteraan mahupun pentadbiran – bagi melindungi kedaulatan dan kesejahteraan rakyat di kawasan sempadan.
"Thailand sudah pun mengambil tindakan diplomatik paling tegas dengan mengusir diplomat Kemboja dan memanggil pulang dutanya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Kerajaan Thailand juga, maklumnya, akan memperluaskan skim bantuan untuk mangsa, termasuk pampasan sebanyak 1 juta baht bagi setiap mangsa yang terkorban dan jumlah yang sesuai untuk mangsa cedera.
Beberapa menteri dilantik untuk turun padang dan menyampaikan takziah serta bantuan secara langsung kepada mangsa dan keluarga mereka.
“Isu kedaulatan negara dan keselamatan rakyat adalah perkara yang tidak boleh dikompromi. Kerajaan bersedia bertindak secara tegas secara pentadbiran dan ketenteraan bagi melindungi sempadan.
"Saya faham perasaan rakyat dan menyeru agar semua pihak bersatu serta mendapatkan maklumat sahih. Kita perlu menyelesaikan isu ini dengan semangat perpaduan.
“Saat genting ini menuntut semangat perpaduan rakyat. Kita mesti kekal tenang, mengutamakan saluran berita yang sahih dan bangkit bersama-sama untuk menghadapi cabaran ini,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami