KUALA LUMPUR: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mengumumkan penutupan sementara permohonan bagi menjalankan aktiviti 'Trans Hiking' dan 'Hiking Compress' di semua Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri itu bermula 1 Julai 2026.
Menurut notis yang dikeluarkan jabatan berkenaan, keputusan itu dibuat atas faktor keselamatan.
"Sepanjang tempoh penutupan tersebut, sebarang permohonan baharu untuk menjalankan kedua-dua aktiviti berkenaan tidak akan diproses sehingga dimaklumkan kelak.
"Orang ramai turut diingatkan supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang," kata notis dikeluarkan itu, pada Jumaat.
‘Transhiking’ merujuk kepada pendakian merentas (transit) dari satu titik ke titik lain melalui laluan hutan atau gunung yang panjang, manakala ‘Hiking Compress’ merujuk kepada aktiviti pendakian yang dilakukan dalam tempoh masa yang dipadatkan berbanding jadual biasa.
Menurut jabatan itu, mana-mana individu yang melanggar arahan berkenaan boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 47, Enakmen Pemakaian Akta Perhutanan Negara 1985.
"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
"Arahan penutupan sementara itu dikeluarkan oleh Pengarah Perhutanan Negeri Selangor," katanya.
Tindakan penutupan sementara Jabatan Perhutanan Selangor itu dilihat mengikut jejak Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) yang sebelum ini mengeluarkan notis larangan serta-merta terhadap aktiviti pendakian secara ‘dayhike’ atau ‘compressed hike’ di beberapa laluan pendakian berisiko, susulan penilaian semasa terhadap keadaan muka bumi dan tahap keselamatan kawasan berkenaan.
Ini susulan kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, di Gunung Batu Putih, Tapah ketika bersama 13 pendaki lain menyertai pendakian di Trans Spencer Chapman bermula jam 2 pagi 23 Mei lalu, sebelum dilaporkan hilang sehari selepas itu.