JAKARTA: Menjelang demonstrasi mahasiswa di Jakarta pada Jumaat, rakyat Indonesia menggunakan tanda pagar #WargaJagaWarga di media sosial sebagai simbol solidariti dan sokongan kepada peserta yang turun ke jalan.
Di platform Threads, orang ramai berkongsi pesanan keselamatan, bantuan keperluan asas serta doa agar demonstrasi di kawasan Bundaran Hotel Indonesia (HI) berlangsung dengan aman.
Pengguna Threads, @nada_arini memaklumkan sekumpulan ibu membuka pusat bantuan logistik sementara di hadapan Hotel Kempinski di Bundaran HI bermula jam 1 tengah hari waktu tempatan bagi membantu peserta demonstrasi.
Dalam hantaran itu, peserta turut diingatkan supaya tidak hadir bersendirian, membawa power bank, meninggalkan nombor telefon kepada keluarga selain memastikan rakan yang datang bersama pulang bersama.
“Kalau datang berdua, pulang juga harus berdua. Jangan tinggalkan teman. Kawan jaga kawan, warga jaga warga,” menurut hantaran itu.
Seorang lagi pengguna, @icy91_ menerusi hantaran dengan tanda pagar #WargaJagaWarga mendoakan kelancaran demonstrasi khususnya membabitkan mahasiswa daripada Badan Eksekutif Mahasiswa Universitas Indonesia (BEM UI).
Pengguna @soniaeryka pula menyifatkan peserta demonstrasi sebagai mewakili suara rakyat Indonesia dan berharap mereka pulang dengan selamat.
Demonstrasi yang digerakkan BEM UI dan gabungan masyarakat sivil itu memberi tumpuan kepada isu ekonomi semasa termasuk kos sara hidup dan harga bahan api.
Mahasiswa turut membawa lima tuntutan utama iaitu menghentikan pembaziran belanjawan negara, menurunkan harga barang asas dan bahan api, membatalkan program Makan Bergizi Gratis (MBG) serta Koperasi Desa Merah Putih, menamatkan penglibatan tentera dalam urusan awam dan menggesa Presiden Prabowo Subianto mengakui kelemahan pentadbiran kerajaan.