PUTRAJAYA: Seorang pempengaruh media sosial mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang pesara wanita melibatkan kerugian RM80,000 dalam satu pelaburan perniagaan, tahun lepas.
Mikhail Isaaq Mohd Rozi, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Ezrene Zakariah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memperdayakan Tan Mei Lan, 58, untuk menyerahkan wang tunai RM80,000 sebagai modal perniagaan penjualan kosmetik di Bank Muamalat, Presint 15, di sini pada kira-kira 3.30 petang, 21 Mei tahun lepas.
Mikhail Isaaq juga didakwa menjanjikan mangsa jawatan rakan kongsi syarikat Two M Legacy selain menerima gaji RM10,000 sebulan dan 10 peratus keuntungan setiap bulan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, sebat, serta denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri manakala tertuduh diwakili peguam Izleen Ismail daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
-- BERNAMA