GAZA: Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Oktober 2023 meningkat kepada 73,293 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza pada Selasa.
Kementerian itu berkata seramai 173,906 lagi dilaporkan cedera di seluruh wilayah itu sepanjang tempoh konflik, lapor Al Jazeera.
Dalam tempoh 24 jam lalu, sembilan rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam serangan terbaharu, manakala satu lagi mayat mangsa berjaya dikeluarkan dari bawah runtuhan bangunan.
Menurut kementerian itu, angka korban terus meningkat ketika operasi ketenteraan masih berlangsung di beberapa kawasan di Gaza.
Sejak perjanjian gencatan senjata tajaan Amerika Syarikat (AS) diumumkan pada Oktober tahun lalu, sekurang-kurangnya 1,168 orang dilaporkan terbunuh manakala 3,798 lagi cedera.
Keadaan kemanusiaan di Gaza turut dilaporkan terus merosot dengan penduduk berdepan kekurangan bekalan asas, kemudahan kesihatan yang terhad serta ancaman kebuluran di beberapa kawasan.