Skip to main content

Malaysia

Ketua jabatan perlu celik keselamatan siber, semak semula BCP - KSN

Shamsul Azri (dua, kiri) melawat reruai pameran selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Seminar RSTU: Pengajaran Daripada Kes Mahkamah hari ini. - Gambar Bernama
Shamsul Azri (dua, kiri) melawat reruai pameran selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Seminar RSTU: Pengajaran Daripada Kes Mahkamah hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KLANG: Semua ketua jabatan perlu mempunyai tahap celik keselamatan siber yang tinggi, menyemak semula Pelan Kesinambungan Perkhidmatan (BCP) serta memastikan pengendalian dokumen rasmi dilakukan dengan penuh disiplin tanpa sebarang kompromi, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata kerajaan berpendirian tegas bahawa aspek keselamatan perlu diberi perhatian serius secara menyeluruh bagi melindungi kedaulatan negara, ketahanan sektor strategik serta keselamatan rakyat.

“Mekanisme pengurusan keselamatan dan tindak balas krisis sedia ada perlu diperkemas secara berterusan, khususnya dalam penyelarasan rentas agensi dan perkongsian maklumat pantas.

Advertisement

“Selain itu, ia juga meliputi faktor kejelasan peranan dan keupayaan bertindak segera apabila berhadapan sebarang ancaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Seminar Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus (RSTU): Pengajaran Daripada Kes Mahkamah - Memperkukuh Tadbir Urus dan Tatakelola Mencegah Kesilapan Berulang di sini hari ini.

Advertisement

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin. 

Shamsul Azri ketika mengulas lanjut mengenai kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman keselamatan berkata perkembangan konflik antarabangsa menunjukkan ancaman kini bukan sahaja melibatkan peperangan konvensional, malah merangkumi serangan siber, penyebaran maklumat palsu, sabotaj infrastruktur kritikal dan gangguan rantaian bekalan.

Perkara itu turut diberi perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan kenyataan berhubung tahap kesiapsiagaan keselamatan negara dalam menghadapi perkembangan konflik geopolitik dan ketegangan keselamatan serantau serta antarabangsa di Dewan Rakyat pada Selasa lepas.

Usaha itu termasuk memastikan bekalan makanan, air dan tenaga negara mencukupi serta tidak terganggu.

Beliau ketika menyentuh isu pengurusan bencana berkata kejadian banjir di Selangor bukan sekadar berpunca daripada fenomena alam atau taburan hujan luar biasa, sebaliknya turut mencerminkan aspek tatakelola yang perlu diberi perhatian.

Beliau berkata perkara itu antaranya melibatkan integriti penjawat awam dalam memastikan peruntukan tebatan banjir dibelanjakan tanpa ketirisan, kelulusan pembangunan tidak menjejaskan zon tadahan air serta penyelenggaraan longkang dan sungai dilaksanakan secara berkala.

“Sejauh mana integriti penjawat awam dalam memastikan setiap sen peruntukan tebatan banjir dibelanjakan tanpa ketirisan, kelulusan perancangan pembangunan tidak mengorbankan zon tadahan air dan aspek penyelenggaraan longkang atau sungai dipantau secara berkala.

“Justeru, saya telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta semua agensi berkaitan bertindak lebih pantas dan proaktif melalui pendekatan keseluruhan kerajaan dan usah lagi bekerja dalam kepompong silo,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement