MELAKA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pemimpin politik khususnya dalam Kerajaan Perpaduan supaya mengamalkan budaya perbincangan dan menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat menerusi saluran sewajarnya termasuk mesyuarat Kabinet.
Perdana Menteri berkata, pemimpin dalam kerajaan perlu mengutamakan kestabilan pentadbiran dan tidak menggunakan pentas politik untuk menyerang rakan sekutu yang bersama-sama membentuk kerajaan.
Menurutnya, ruang perbincangan dalam Kabinet perlu dimanfaatkan bagi membangkitkan sebarang ketidakpuasan hati atau perkara yang tidak dipersetujui, berbanding mencetuskan pertelingkahan secara terbuka.
“Ini kawan-kawan saya dalam kerajaan. Dia main kempen, dia serang kerajaan. Tetapi dalam kerajaan, dia teman-teman menteri ada, menteri itu, menteri ini ada.
“Kalau apa setuju, tidak setuju, cakap dalam Kabinet. Esok pagi, pukul 9 pagi mesyuarat. Sembilan sampai 12.30, tiga jam, cakaplah. Ini politik baharu kita,” katanya ketika menghadiri Malam HARAPAN di Sekolah Tinggi Pay Fong, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan, perpaduan antara kaum dan agama perlu terus dipelihara bagi memastikan kestabilan negara, selain menolak budaya politik kebencian yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat.
Katanya, kerajaan perlu memastikan kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama terus diberi perhatian, termasuk melalui pelaksanaan bantuan serta inisiatif ekonomi.
Jelasnya kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia menuntut pendekatan kepimpinan yang inklusif dengan memastikan kebajikan semua golongan terbela tanpa mengira latar belakang.
Menurutnya, politik yang memainkan sentimen perkauman dan agama hanya akan mengganggu keharmonian negara serta menjejaskan usaha membangunkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Di Malaysia ada parti yang mengajar benci. Apa yang kamu mahu? Yang dia tahu, tidak mahu Cina, tidak mahu DAP.
“Saya mahu beritahu, saya sekarang Perdana Menteri. Mahu negeri ini selamat, kita mesti jaga semua rakyat dalam negara ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan, kerjasama dengan pelbagai negara termasuk China, Amerika Syarikat dan negara ASEAN merupakan pendekatan penting bagi menarik pelaburan serta membawa manfaat ekonomi kepada rakyat.
Mengulas kepentingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Anwar berkata, sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) penting bagi memastikan kerajaan negeri dan Persekutuan dapat bergerak seiring dalam agenda pembangunan.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya menilai kepimpinan berdasarkan integriti dan keupayaan mentadbir, bukannya terpengaruh dengan retorik politik atau sentimen perkauman.
“Kalau silap kita minta maaf. Kita boleh belajar, kita boleh dengar. Tapi bukan kita sakau ambil harta orang.
“Bukan ambil tanah negeri, bukan ambil saham, bukan ambil kontrak dan projek,” katanya.
Tambah beliau, keutamaan kerajaan adalah memastikan Melaka terus aman, selamat dan maju, selain menyediakan masa depan lebih baik untuk generasi akan datang.
Beliau turut menyeru jentera serta penyokong PH supaya bersatu dan memberikan sokongan padu kepada calon gabungan itu pada PRN Melaka.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dan Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Tujuh calon PH daripada DAP bertanding di PRN Melaka kali ini.
Mereka ialah Allex Seah Shoo Chin (Kesidang); Jason Tze -Xi Nathan (Pengkalan Batu); Jegan K (Gadek); Kerk Chee Yee (Ayer Keroh); Leng Chau Yen (Bandar Hilir); Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Poo Long Suan (Duyong).