Skip to main content

Dunia

Korea Selatan, ASEAN bincang usaha perkukuh perkongsian, promosi keamanan serantau

Asean, Korea Selatan
Timbalan Menteri Luar Chung Eui-hye turut membentangkan visi kerajaan untuk berkongsi kelebihan Korea Selatan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dengan ASEAN.
Advertisement

SEOUL: Wakil dari Korea Selatan dan ASEAN mengadakan pertemuan pada Selasa di Seoul bagi membincangkan langkah memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan, ekonomi dan sektor lain, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Kementerian Luar.

Menurut kementerian itu, Timbalan Menteri Luar Chung Eui-hye menghadiri Dialog Korea-ASEAN tahunan berkenaan bersama-sama pegawai daripada 11 negara anggota ASEAN. Mesyuarat pada Selasa itu diadakan menjelang siri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Berkaitan ASEAN yang dijadualkan berlangsung bulan ini.

Para peserta menyemak kemajuan pelaksanaan rancangan untuk memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif antara kedua-dua pihak, selain bertukar-tukar pandangan mengenai usaha memperluas lagi kerjasama.

Chung turut membentangkan visi kerajaan untuk berkongsi kelebihan Korea Selatan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dengan ASEAN, di samping menggalakkan pertumbuhan bersama dalam industri budaya dan kreatif bersandarkan populariti global budaya Korea.

Beliau juga meminta sokongan dan penyertaan aktif ASEAN dalam projek kerjasama yang dicadangkan oleh Kerajaan Seoul, termasuk projek yang bertujuan untuk memerangi jenayah berkaitan penipuan .

Selain itu, para peserta bertukar pandangan mengenai isu-isu utama serantau dan antarabangsa, termasuk perkembangan di Semenanjung Korea, Laut China Selatan serta situasi di Myanmar.

"Kami menegaskan semula komitmen untuk merealisasikan sebuah Semenanjung Korea yang membolehkan kedua-dua Korea hidup bersama secara aman dan makmur, di samping menaruh harapan agar kerjasama erat dengan ASEAN dapat diteruskan demi mempromosikan keamanan dan kestabilan yang mampan di rantau ini," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Menteri-menteri Luar ASEAN dijadual berhimpun di Manila akhir bulan ini. Korea Selatan merancang untuk menyertai mesyuarat berkaitan termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-Republik Korea dan Forum Serantau ASEAN (ARF) bagi membincangkan isu keselamatan serantau serta langkah memperdalam kerjasama.

-- BERNAMA-YONHAP

Must Watch Video

Advertisement