Korea Selatan, AS capai persetujuan mengenai komitmen pelaburan

Trump dan Lee Jae Myung pada satu majlis makan malam di Gyeongju, Korea Selatan, 29 Okt 2025. (Foto AP)
GYEONGJU (Korea Selatan): Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) telah memuktamadkan perjanjian mengenai butiran komitmen pelaburan Seoul bernilai US$350 bilion yang membawa kepada pengurangan tarif AS terhadap produk Korea Selatan, kata Ketua Setiausaha Presiden bagi Dasar, Kim Yong-beom.
Perjanjian itu dicapai sempena sidang kemuncak antara Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung dan Presiden AS Donald Trump di Bandar Gyeongju, selepas hampir tiga bulan rundingan intensif bagi memperincikan kandungan komitmen pelaburan berkenaan.
"Komitmen pelaburan bernilai US$350 bilion itu merangkumi US$200 bilion dalam bentuk bayaran tunai dan US$150 bilion bagi kerjasama industri pembinaan kapal, dengan had tahunan ditetapkan pada US$20 bilion.
"Memandangkan pelaburan akan dibuat mengikut kemajuan perniagaan dalam had tahunan berkenaan, ia kekal dalam julat yang boleh diserap oleh pasaran pertukaran asing Korea Selatan sekali gus meminimumkan kesan terhadap pasaran," katanya kepada Agensi Berita Yonhap.
Beliau berkata syarikat Korea akan mengetuai projek kerjasama pembinaan kapal, termasuk pelaburan langsung dan jaminan pinjaman.
Berdasarkan terma yang dimuktamadkan, tarif timbal balas AS ke atas barangan Korea Selatan serta duti sektor automotif akan dikurangkan daripada 25 peratus kepada 15 peratus seperti yang dipersetujui dalam perjanjian awal pada Julai.
Produk farmaseutikal dan balak akan diberi "layanan negara paling digemari", manakala alat ganti pesawat, ubat generik serta sumber asli yang tidak dihasilkan di AS akan dikecualikan daripada tarif.
Kim turut menjelaskan bahawa kadar tarif bagi semikonduktor akan ditetapkan pada tahap tidak kurang baik daripada yang dikenakan ke atas Taiwan, pesaing utama Korea Selatan dalam sektor itu.
Seoul dan Washington juga bersetuju untuk memasukkan prinsip "kewajaran komersial" dalam memorandum persefahaman (MoU) dan membahagikan keuntungan sama rata sehingga jumlah pelaburan diperoleh kembali sepenuhnya.
Korea Selatan turut memperoleh klausa perlindungan yang membolehkan perundingan semula sekiranya AS menuntut pelaburan tanpa semakan sewajarnya oleh jawatankuasa bersama.
"Melalui perjanjian ini, kami menjangka keadaan untuk syarikat Korea menembusi pasaran AS akan bertambah baik, sambil memastikan persekitaran eksport yang lebih menguntungkan berbanding negara lain.
"Kami juga percaya penjelasan mengenai skop dan jadual pengurangan tarif ini akan mengurangkan ketidaktentuan pasaran dengan ketara," katanya.
--BERNAMA-YONHAP
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


