SEOUL: Kerajaan Korea Selatan mengguna pakai kaedah paling ketat untuk mengesan kemungkinan radiasi dalam import makanan laut dari Jepun bagi memastikan tiada kesan bahan berbahaya akan dibenarkan.

"Kerajaan sekali lagi menegaskan bahawa rakyat tidak perlu bimbang tentang keselamatan makanan laut di atas meja," kata Timbalan Ketua Pertama Pejabat Penyelarasan Dasar Kerajaan, Park Ku Yeon, semasa taklimat harian mengenai isu Fukushima pada Khamis, lapor Yonhap.

Park menjelaskan bahawa pihak berkuasa makanan dan dadah memeriksa dengan teliti dokumen asal kesemua makanan laut yang diimport dari luar negara, termasuk dari wilayah Fukushima.

Korea Selatan mengharamkan semua import makanan laut dari lapan wilayah Jepun berhampiran Fukushima pada 2013 atas kebimbangan terhadap tahap pencemaran akibat kerosakan loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi pada 2011.

"Apabila produk itu dianggap sesuai untuk diimport, pihak berkuasa menjalankan ujian radiasi terperinci di tapak.

"Walaupun jumlah sinaran minimum yang dikesan akan mengakibatkan pengharaman serta-merta ke atas produk," tambah Park.

Sebagai sebahagian daripada pemeriksaan rutin, kerajaan menjalankan penilaian ke atas 55,548 kes makanan laut di peringkat pengeluaran tahun ini dan kesemuanya tidak menunjukkan sebarang kesan sinaran.

-- BERNAMA