SEOUL: Korea Selatan pada Khamis melancarkan strategi jangka masa panjang bagi mengembangkan industri metaversenya, bermatlamat menjadi pasaran kelima terbesar di dunia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Di bawah rancangan itu, negara itu akan membina sekurang-kurangnya 220 syarikat metaverse dengan jumlah jualan melebihi 5 bilion Won (AS$4.2 billion) serta mewujudkan 'akademi metaverse' pada tahun ini untuk melatih 40,000 pakar tempatan menjelang 2026.

"Metaverse ialah 'Dunia Baharu' digital dengan kemungkinan yang tiada batas," agensi berita Yonhap memetik Menteri Sains dan ICT Lim Hye Sook sebagai berkata.

Beliau juga berkata bahawa kerajaan akan bekerjasama erat dengan industri dan kementerian berkaitan.

Metaverse merujuk kepada ruang maya yang dikongsi antara pengguna untuk berinteraksi antara satu sama lain melalui avatar digital serta mengalami pengalaman dunia realiti maya (VR).

Platform sedemikian semakin mendapat tempat sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila orang ramai beralih kepada aktiviti dalam talian akibat pandemik.

Korea Selatan turut merancang membina sebuah institut bahasa Korea secara dalam talian menerusi platform berkenaan untuk warga asing, juga akan memulakan beberapa projek menggunakan teknologi metaverse termasuk pelancongan, perubatan dan seni, serta K-pop.

Demi meningkatkan pertumbuhan, negara itu akan melaksanakan 'K-Metaverse Academy' bagi membantu syarikat permulaan metaverse global memasuki pasaran Korea Selatan dan menghubungkan mereka dengan syarikat tempatan.

Pada masa ini, Korea Selatan menduduki tempat ke-12 di dunia daripada segi bahagian pasaran dalam industri metaverse.

-- BERNAMA