BRUSSELS: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) belum melihat tanda-tanda pengurangan tentera Rusia di sempadan Ukraine walaupun negara itu bertegas beberapa unit latihan ketenteraannya sudah kembali ke pangkalan.

Setiausaha Agungnya, Jens Stoltenberg menyifatkan kenyataan Rusia itu sekadar memberi bayangan sementara bahawa negara itu tidak akan menyerang Ukraine dalam masa terdekat.

"Setakat ini kami tidak melihat sebarang tanda pengurangan tenteranya di lapangan. Rusia telah mengumpulkan pasukannya di dalam dan sekitar Ukraine, tidak pernah berlaku sebelum Perang Dingin. Segala-galanya kini sudah tersedia untuk serangan baharu," katanya dalam satu sidang media di sini pada Selasa.

BACA: Rusia arah tentera pulang ke pangkalan, sifatkan ia 'latihan' semata-mata


Justeru, diplomasi antara negara perlu diteruskan bagi memastikan Rusia benar-benar tidak melakukan pencerobohan ke atas Ukraine.

"Rusia masih mempunyai masa untuk berundur, hentikan hasrat untuk berperang dan mulakan penyelesaian damai," tambah Stoltenberg.

NATO juga bukan sahaja mahu melihat pengunduran tentera,  malah, peralatan ketenteraan Rusia di sempadan Ukraine.

BACA: Krisis Rusia-Ukraine: Canselor Jerman bertemu Putin

Pada Selasa, Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, Moscow bersedia untuk berbincang dengan Amerika Syarikat dan NATO mengenai had penggunaan peluru berpandu dan ketelusan ketenteraan.

Setakat ini, pemimpin Eropah bertungkus-lumus untuk cuba menghentikan kemungkinan perang baharu di benua itu susulan ketegangan antara Rusia dan Ukraine sejak beberapa minggu lalu.

Selain itu, Eropah turut berada di persimpangan untuk menyebelahi Rusia atau Amerika Syarikat susulan kebergantungan blok itu kepada minyak dan gas Rusia.