Skip to main content

Dunia

Kristi Noem disingkir dari jawatan Keselamatan Dalam Negeri

U.S. Homeland Security Secretary Kristi Noem testifies before a House Judiciary Committee hearing on "Oversight of the Department of Homeland Security," on Capitol Hill in Washington, D.C., U.S., March 4, 2026. REUTERS/Kylie Cooper
Trump turut mengumumkan bahawa Noem akan berpindah ke jawatan baharu sebagai Duta Khas untuk 'The Shield of the Americas'. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan penyingkiran Kristi Noem daripada jawatan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, sekali gus menamatkan tempoh perkhidmatannya yang penuh kontroversi dalam mengendalikan agenda penghantaran pulang besar-besaran pentadbiran itu.

Trump turut mengumumkan bahawa jawatan tersebut akan diisi oleh Senator Markwayne Mullin, seorang Republikan dari Oklahoma.

Advertisement

Dalam kenyataan di platform Truth Social, Trump berkata bahawa Mullin akan memegang jawatan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri berkuat kuasa 31 Mac 2026.

Beliau memuji pencapaian Noem, menyatakan bahawa beliau “telah berkhidmat dengan baik” dan mempunyai “hasil yang luar biasa,” terutama dalam isu keselamatan sempadan.

Trump turut mengumumkan bahawa Noem akan berpindah ke jawatan baharu sebagai Duta Khas untuk 'The Shield of the Americas', sebuah inisiatif keselamatan baharu yang memberi tumpuan kepada keselamatan hemisfera Barat.

Pemecatan Noem berlaku selepas berbulan-bulan beliau berada di bawah penelitian ketat, khususnya berhubung cara beliau mengendalikan jabatan besar itu serta insiden yang melibatkan kematian dua rakyat AS di Minnesota, yang dibunuh oleh ejen persekutuan semasa operasi penguatkuasaan imigresen awal tahun ini.

Menurut laporan, Noem turut menerima kritikan hebat susulan pendiriannya yang keras termasuk menuduh kedua-dua mangsa sebagai “pengganas domestik,” dakwaan yang bercanggah dengan rakaman video kejadian dan mendapat tentangan bipartisan.

Sumber dalam pentadbiran Trump menyatakan bahawa keputusan memecat Noem "berpunca daripada siri kegagalan kepimpinan" termasuk pengurusan kakitangan yang lemah, perbalahan dalaman dengan ketua-ketua agensi seperti CBP dan ICE, serta kempen iklan bernilai AS$220 juta yang dipertikaikan.

Noem juga menghadapi sesi soal siasat sengit dalam pendengaran Kongres minggu ini, termasuk soalan mengenai dakwaan hubungan peribadi dengan penasihat kanan Corey Lewandowski, yang turut meningkatkan tekanan politik terhadapnya.

Selepas diumumkan digugurkan, Noem dalam kenyataan di platform X mengucapkan terima kasih kepada Trump atas peluang tersebut dan menegaskan bahawa beliau akan meneruskan usaha keselamatan melalui jawatan baharunya.

Beliau turut menyenaraikan apa yang digelarnya sebagai "pencapaian bersejarah" sepanjang 13 bulan menerajui jabatan itu.

Sementara itu, pelantikan Mullin dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh agenda keselamatan dan imigresen Trump, menjelang pelancaran inisiatif keselamatan hemisfera baharu yang dijadualkan diumumkan di Florida.

Must Watch Video