MANILA: Ibu negara Filipina, Manila, pada Selasa menjadi tumpuan perhatian antarabangsa apabila pemimpin ASEAN bersama beberapa pemimpin kuasa besar dunia berhimpun bagi menghadiri rangkaian mesyuarat peringkat tinggi yang bakal melabuhkan tirai Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijadual tiba di Manila pada pukul 5.30 petang waktu tempatan, menjadikannya pemimpin terakhir yang tiba bagi menghadiri persidangan berkenaan.
Ketibaan Trump itu dijadualkan selepas majlis penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 yang berlangsung pada pukul 5 petang waktu tempatan.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi mengenai waktu ketibaan beliau di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina (PICC), Pasay City, yang menjadi lokasi utama persidangan.
Sementara itu, Premier China, Li Qiang tiba lebih awal pada Ahad lalu bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China, manakala Perdana Menteri India, Narendra Modi tiba di Manila pada Isnin bagi menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-India.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 hari ini memasuki hari terakhir dengan beberapa mesyuarat peringkat tinggi bersama rakan dialog dijadual berlangsung sebelum majlis penutupan rasmi dan penyerahan kepengerusian ASEAN kepada Singapura bagi tahun 2027.
Antara agenda utama hari ini ialah Mesyuarat Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three (APT) ke-29 yang dijadual bermula 8.30 pagi, diikuti Mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC) keempat pada 10.15 pagi.
Turut berlangsung ialah Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-29 pada 11.15 pagi, Sidang Kemuncak Mekong-Jepun ke-13 pada 12.30 tengah hari, sebelum Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-23 pada 1.15 petang.
Agenda diteruskan dengan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-21 pada 2.30 petang, yang menghimpunkan pemimpin serantau dan rakan dialog bagi membincangkan isu berkepentingan bersama.
Kemuncak persidangan ialah Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 yang turut menyaksikan penyerahan rasmi kepengerusian ASEAN daripada Filipina kepada Singapura bagi tahun 2027.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. selaku Pengerusi ASEAN dijadual menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlepas ke Malaysia pada petang Isnin bagi menyambut Presiden Perancis, Emmanuel Macron dijadual kembali ke Manila pada pukul 4.25 petang sebelum bergerak ke PICC untuk menghadiri majlis penutupan yang berlangsung dari 5 hingga 5.45 petang.
Trump turut dijadual menyampaikan ucapan pada majlis makan malam bersama pemimpin ASEAN yang dijadual berlangsung pada pukul 8.25 malam waktu tempatan.
Perdana Menteri kemudian dijadual berlepas ke Shenzhen, China, pada 10 malam bagi meneruskan agenda lawatan dan pertemuan di negara berkenaan.