MOSCOW: Sebuah pesawat pengangkut tentera jenis An-12 terhempas di wilayah Kemerovo, Siberia, pada Selasa, mengorbankan kesemua 19 individu yang berada di dalam pesawat itu, lapor media Rusia memetik kenyataan Kementerian Pertahanan negara itu.
Menurut kementerian berkenaan, pesawat pengangkut tentera An-12 itu sedang dalam penerbangan berjadual sebelum terhempas di kawasan tidak berpenghuni.
"Pesawat pengangkut tentera An-12 terhempas di wilayah Kemerovo ketika menjalankan penerbangan berjadual. Pesawat itu terhempas di kawasan tidak berpenghuni. Seramai 19 individu termasuk anak kapal berada di dalam pesawat dan kesemua mereka maut," menurut kenyataan yang dipetik agensi berita negara TASS.
Laporan awal menyebut kerosakan teknikal dipercayai menjadi punca nahas tersebut.
Sementara itu, agensi berita RIA Novosti memetik kenyataan kementerian berkenaan bahawa satu suruhanjaya khas daripada Pasukan Aeroangkasa Rusia telah dihantar ke lokasi kejadian bagi menyiasat dan mengenal pasti punca sebenar insiden.
Terdahulu, Gabenor Wilayah Kemerovo, Ilya Seredyuk, memaklumkan menerusi Telegram bahawa satu "insiden penerbangan" berlaku berhampiran kampung Yagunovo.
Beliau berkata sebuah pesawat yang sedang melalui wilayah itu dipercayai telah terhempas.
Seredyuk turut memuat naik video dari lokasi kejadian yang menunjukkan beberapa jentera bomba dan ambulans berada di tempat kejadian dengan lampu kecemasan menyala dalam keadaan gelap. - Agensi