Skip to main content

Dunia

Kumpulan Hizbullah tegaskan komitmen gencatan senjata jika liputi semua wilayah Lubnan

Israeli tanks operate in Lebanon, near the Israel-Lebanon border, as seen from the Israeli side of the border in northern Israel, April 14, 2026. REUTERS/Florion Goga TPX IMAGES OF THE DAY
Blok Hizbullah memberi amaran bahawa memulakan rundingan langsung dengan Israel bertentangan dengan kehendak nasional dan boleh membawa kepada "fasa berbahaya" untuk negara itu. - Gambar fail/Reuters

BEIRUT: Blok parlimen Hizbullah berkata pada Jumaat, pihaknya komited untuk gencatan senjata dengan Israel, dengan syarat ia menyeluruh dan meliputi semua wilayah Lubnan, lapor Anadolu Ajansi.

Kenyataan itu dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan gencatan senjata selama 10 hari di Lubnan lewat Khamis.

Advertisement

Dalam kenyataan, blok "Kesetiaan pada Penentangan" berkata ia akan mematuhi gencatan senjata "dengan berwaspada” dengan syarat ia "termasuk semua wilayah Lubnan, khususnya kawasan sempadan, menghentikan permusuhan, menyekat pergerakan tentera Israel dan membawa kepada pengunduran sepenuhnya Israel."

Menurut blok berkenaan, gencatan senjata dicapai sebahagian besarnya disebabkan tekanan Iran dan hubungan diplomatik, sambil mengkritik pihak berkuasa Lubnan kerana apa yang disifatkannya sebagai "menyerah kepada tuntutan AS dan mengusahakan rundingan langsung" dengan Israel.

Ia memberi amaran bahawa memulakan rundingan langsung dengan Israel bertentangan dengan kehendak nasional dan boleh membawa kepada "fasa berbahaya" untuk negara itu.

Kenyataan turut mengkritik gencatan senjata dihadkan kepada 10 hari, menyifatkan ia sebagai percubaan untuk menekan kerajaan Lubnan dan mempercepat rundingan langsung, yang dikatakan boleh membawa "akibat serius".

Sementara itu, puluhan ribu penduduk Lubnan yang kehilangan tempat tinggal mula kembali pada Jumaat ke pinggir bandar selatan Beirut dan pekan serta kampung di selatan susulan pelaksanaan gencatan senjata.

-- BERNAMA-ANADOLU 

Must Watch Video