Ringkasan AI
- JKNS telah melaksanakan beberapa projek penggantian sistem UPS di hospital bagi menjamin keselamatan pesakit dan kelancaran operasi.
- Susulan insiden gangguan bekalan elektrik di HWKKS, Kementerian Kesihatan melarang penggunaan wayar penyambung di hospital.
- JKNS menerima peruntukan RM9.4 juta tahun ini untuk menaik taraf kapasiti bekalan air simpanan di hospital.
KOTA KINABALU: Beberapa projek penggantian sistem bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS) telah dilaksanakan pada peringkat hospital bagi menjamin keselamatan pesakit serta memastikan kelancaran operasi hospital, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
JKNS memaklumkan pihaknya memandang serius cabaran berkaitan aset kritikal seperti sistem jana kuasa kecemasan (genset), UPS dan sistem penyaman udara yang telah melepasi jangka hayat penggunaan, namun masih beroperasi di beberapa hospital di negeri ini.
Sehubungan dengan itu, permohonan bagi peruntukan lain akan terus dikemukakan bagi menggantikan sistem kritikal lain.
"Syarikat konsesi perkhidmatan sokongan hospital, Sedafiat Sdn Bhd, juga diarahkan untuk meningkatkan kekerapan pemantauan terhadap sistem genset, UPS, panel agihan elektrik dan peralatan perubatan kritikal di dewan bedah," menurut kenyataan itu, pada Khamis.
Menurut JKNS, UPS di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) terjejas susulan gangguan bekalan elektrik di Dewan Bedah hospital berkenaan pada 13 Mei tahun lepas yang berpunca daripada kerosakan wayar penyambung.
Gangguan dalaman pada sistem UPS itu menyebabkan genset tidak beroperasi ketika kejadian tersebut berlaku, dan hasil semakan lanjut pihak teknikal mendapati penggunaan wayar penyambung yang rosak menjadi punca kejadian meskipun HWKKS dilengkapi dengan sistem UPS secara menyeluruh.
“Susulan insiden itu, Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan arahan melarang penggunaan wayar penyambung di hospital, selain mengingatkan semua hospital supaya menanggalkan wayar penyambung yang masih digunakan,” menurut kenyataan itu.
Oleh itu, menurut JKNS, sebarang anomali atau ketidaknormalan sistem hendaklah direkodkan dan diselesaikan segera bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
Berkaitan dengan isu bekalan air, JKNS memaklumkan pihaknya menerima peruntukan RM9.4 juta tahun ini bagi menaik taraf kapasiti bekalan air simpanan di hospital dan pelaksanaan projek itu dijangka dapat menangani masalah gangguan bekalan air di hospital dengan lebih berkesan.
-- BERNAMA