Skip to main content

Dunia

Menara pusat kewangan Riyadh rosak akibat serangan Houthi

Pemandangan kerosakan pada menara Public Investment Fund (PIF), ibu pejabat dana kekayaan negara Arab Saudi, selepas ia menjadi sasaran serangan kumpulan Houthi di Riyadh. - Foto REUTERS
Pemandangan kerosakan pada menara Public Investment Fund (PIF), ibu pejabat dana kekayaan negara Arab Saudi, selepas ia menjadi sasaran serangan kumpulan Houthi di Riyadh. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Menara pusat kewangan Riyadh rosak akibat serangan Houthi, namun tiada mangsa dilaporkan.
  • Arab Saudi memintas beberapa peluru berpandu balistik yang disasarkan ke Riyadh dan wilayah selatan.
  • Konflik yang semakin memuncak memburukkan krisis kemanusiaan di Yaman, dengan ribuan terbunuh dan ratusan ribu kehilangan tempat tinggal.
Advertisement

RIYADH: Sebuah menara di pusat kewangan ibu negara Arab Saudi mengalami kerosakan selepas menjadi sasaran serangan kumpulan Houthi dari Yaman pada Khamis, ketika ketegangan antara kedua-dua pihak terus memuncak.

Menurut pihak berkuasa pertahanan awam Arab Saudi, serangan itu menyebabkan beberapa tingkat bangunan terbabit serta bangunan berhampiran mengalami kerosakan harta benda, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Jurucakap agensi itu menyifatkan serangan terhadap infrastruktur awam sebagai pelanggaran jelas terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Advertisement

Sebelum itu, jurucakap gabungan tentera diketuai Arab Saudi, Mejar Jeneral Turki al-Maliki, memaklumkan pertahanan udara negara itu berjaya menangkis ancaman peluru berpandu yang dilancarkan ke arah Riyadh.

Beberapa jam kemudian, beliau berkata sistem pertahanan udara turut memintas dan memusnahkan empat peluru berpandu balistik yang disasarkan ke wilayah selatan Arab Saudi berhampiran sempadan Yaman.

Advertisement

Pihak berkuasa turut mengeluarkan beberapa amaran kecemasan di kawasan Khamis Mushait dan bandar Abha sebelum memaklumkan ancaman telah berakhir.

Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya tujuh amaran kecemasan dikeluarkan di pelbagai lokasi di negara itu pada hari berkenaan.

Gabungan tentera juga mendakwa berjaya memusnahkan tapak pelancaran peluru berpandu balistik yang digunakan dalam cubaan menyerang Riyadh.

Menurut laporan Al Jazeera, serangan terbaharu itu berlaku selepas kumpulan Houthi pada Rabu mengaku bertanggungjawab menyasarkan beberapa lokasi di Arab Saudi, termasuk lapangan terbang antarabangsa dan pusat kewangan di Riyadh, selain kemudahan strategik di Jizan serta pangkalan udara Khamis Mushait.

Pada masa sama, agensi berita Saba yang dikendalikan Houthi melaporkan pesawat Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas ibu negara Yaman, Sanaa, namun tidak memperincikan sasaran serangan.

Perkembangan itu berlaku serentak dengan dakwaan pasukan kerajaan Yaman bahawa mereka telah melaksanakan kira-kira 715 serangan udara terhadap kedudukan Houthi di beberapa medan pertempuran pada Khamis.

Sementara itu, keadaan kemanusiaan di Yaman terus membimbangkan.

Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memaklumkan lebih 330,000 penduduk, termasuk kira-kira 174,000 kanak-kanak, telah kehilangan tempat tinggal sejak peningkatan semula konflik bersenjata di negara itu.

UNICEF turut memberi amaran jumlah korban dijangka terus meningkat berikutan pertempuran yang berterusan di kawasan berpenduduk padat, khususnya di Taiz dan Lahij.

Awal minggu ini, Majlis Kepimpinan Presiden Yaman mengisytiharkan Houthi sebagai organisasi pengganas.

Keputusan itu menetapkan mana-mana individu yang bekerjasama dengan kumpulan berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk hukuman penjara yang panjang atau hukuman mati.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula melaporkan sekurang-kurangnya 2,260 orang terbunuh manakala 10,519 lagi cedera sejak konflik kembali memuncak pada Ogos lalu.

Menurut Al Jazeera, peningkatan semula pertempuran itu turut menamatkan gencatan senjata yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2022, yang sebelum ini berjaya mengurangkan serangan antara gabungan diketuai Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa dan kumpulan Houthi yang menguasai sebahagian besar kawasan berpenduduk di negara tersebut.

 

 

Must Watch Video

Advertisement