Laluan baharu bas Makkah hubungkan Masjidil Haram ke Daerah Kebudayaan Hira

Laluan baharu itu menyediakan akses terus ke Daerah Kebudayaan Hira, membolehkan pelawat menerokai Pameran Wahyu, Muzium al-Quran, kemudahan pendidikan lain, serta Gua Hira. - BERNAMA
MAKKAH: Bas Makkah telah melancarkan laluan baharu yang menghubungkan Masjidil Haram ke Daerah Kebudayaan Hira dengan matlamat untuk meningkatkan kesalinghubungan antara tapak keagamaan dan kebudayaan, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Laluan baharu itu menyediakan akses terus ke Daerah Kebudayaan Hira, membolehkan pelawat menerokai Pameran Wahyu, Muzium al-Quran, kemudahan pendidikan lain, serta Gua Hira.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada perluasan rangkaian Bas Makkah yang sedang dijalankan, merangkumi 12 laluan, 400 bas, dan 431 stesen meliputi jarak 580 kilometer sehingga kini, serta telah memberi perkhidmatan kepada lebih 188 juta penumpang melalui lebih empat juta perjalanan.
Laluan baharu itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada sistem pengangkutan yang dipantau oleh Suruhanjaya Diraja bagi Bandar Makkah dan Tapak Suci, serta diterajui oleh Pusat Pengangkutan Am, pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi perancangan, pengawalseliaan, dan pengendalian rangkaian pengangkutan Makkah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


