DUNIA
AS lancar operasi penguatkuasaan imigresen di Chicago

Pasukan ICE akan lancarkan operasi menyasarkan pendatang tanpa izin yang mempunyai rekod jenayah, yang membanjiri Chicago dan Illinois. - Foto AP
WASHINGTON: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengumumkan bahawa Pasukan Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) akan melancarkan operasi menyasarkan "pendatang tanpa izin yang mempunyai rekod jenayah yang membanjiri Chicago dan Illinois," lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan, DHS berkata "Operasi Midway Blitz" diadakan bagi memperingati Katie Abraham, yang terbunuh dalam kemalangan langgar lari akibat pemandu mabuk, "pendatang tanpa izin yang mempunyai rekod jenayah" Julio Cucul-Bol di Illinois.
Parti Demokrat menyuarakan bantahan terhadap tindakan terbaharu itu. 'Sekali lagi, ini bukan mengenai usaha membanteras jenayah. Ia memerlukan sokongan dan penyelarasan - namun kami tidak menyaksikan sebarang usaha sebegitu sejak beberapa minggu lepas,' kata Gabenor Illinois daripada Parti Demokrat, JB Pritzker di platform X.
"Daripada mengambil langkah untuk bekerjasama dengan kami dalam soal keselamatan awam, pentadbiran Trump sebaliknya hanya menumpukan usaha untuk menakut-nakutkan penduduk Illinois," kata gabenor itu.Sementara itu, Datuk Bandar Chicago Brandon Johnson berkata pihaknya tidak menerima sebarang notis mengenai sebarang tindakan imigresen yang dipertingkatkan oleh pentadbiran Trump.
"Kami tetap menentang sebarang kemungkinan penguatkuasaan imigresen secara ketenteraan tanpa proses undang-undang yang sewajarnya kerana rekod buruk ICE dalam menahan dan mengusir warganegara Amerika serta melanggar hak asasi ratusan tahanan," kata Johnson.
Baru-baru ini, Trump berulang kali mengancam untuk mengerahkan Pengawal Kebangsaan ke Chicago bagi membanteras jenayah, susulan usaha serupa di Washington, D.C. sejak beberapa minggu lepas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami