Skip to main content
Advertisement

Dunia

Six Flags henti operasi X2 secara kekal susulan dakwaan kecederaan otak

The X2 roller coaster is seen at Six Flags Magic Mountain in Valencia , Calif., Wednesday, Sept. 23, 2026. (AP Photo/Jae C. Hong)
Roller coaster X2 dilihat di taman tema Six Flags Magic Mountain di Valencia, California. - Foto AP
Advertisement

LOS ANGELES: Taman tema Six Flags Magic Mountain di California mengumumkan penutupan kekal roller coaster X2 selepas ratusan pengunjung mendakwa mengalami kecederaan otak akibat menaiki permainan berkenaan.

X2, antara tarikan utama taman tema itu yang terkenal dengan tempat duduk berputar 360 darjah, telah ditutup sejak Julai lalu.

Presiden taman tema itu, Brian Oerding, berkata walaupun X2 telah melepasi pelbagai ujian keselamatan, pihak pengurusan memutuskan untuk menamatkan operasinya kerana ia merupakan langkah yang dianggap paling wajar.

"Keselamatan permainan adalah asas operasi kami, dan apabila keyakinan pengunjung terjejas, kami mengambil perkara itu dengan serius," katanya.

Keputusan itu dibuat susulan beberapa tuntutan mahkamah dan laporan media yang mendakwa ratusan pengunjung mengalami kecederaan otak selepas menaiki roller coaster tersebut.

Firma guaman Dordick Law Corporation, yang memfailkan saman sivil terhadap taman tema itu, berkata mereka telah dihubungi oleh ratusan individu yang percaya kecederaan dialami berpunca daripada permainan berkenaan.

Menurut firma itu, sebahagian mangsa dilaporkan memerlukan pembedahan otak kecemasan, manakala ada yang masih berusaha untuk pulih daripada kesan kecederaan yang dialami.

Bagaimanapun, firma berkenaan menyifatkan tindakan menutup X2 sebagai sudah terlambat bagi mangsa yang telah terjejas.

Roller coaster itu mula beroperasi pada 2002 dengan nama X sebelum ditutup beberapa bulan kemudian bagi membaiki masalah reka bentuk.

Ia sekali lagi ditutup pada 2007 untuk menggantikan gerabak dengan versi lebih ringan sebelum dibuka semula pada 2008 sebagai X2.

Menurut pihak taman tema, lebih 16 juta orang telah menaiki permainan itu sejak ia dibuka semula.

Dalam perkembangan berkaitan, firma guaman Wisner Baum LLP, yang mewakili keluarga Christopher Hawley, berkata penutupan itu tidak dapat mengubah tragedi yang berlaku.

Hawley, 22, yang meninggal dunia pada 2022 selepas menaiki X2, menjadi antara kes paling mendapat perhatian berkaitan permainan itu.

Keluarganya mencapai penyelesaian dalam saman terhadap taman tema berkenaan pada Ogos lalu.

Peguam keluarga berkenaan, Brent Wisner, berkata tragedi itu tidak boleh dipadamkan dan menggesa pembaharuan undang-undang serta pengawasan yang lebih ketat terhadap industri taman tema.

Beliau menegaskan bahawa keselamatan pengunjung tidak seharusnya bergantung kepada tindakan syarikat hanya selepas ramai individu mengalami kecederaan.

Six Flags bagaimanapun menegaskan keputusan menutup X2 dibuat demi melindungi pengunjung pada masa hadapan dan mengekalkan kepercayaan orang ramai terhadap aspek keselamatan taman tema itu.

 

 

Must Watch Video

Advertisement