Singapura bersedia untuk bekerjasama dengan negara-negara pesisir pantai untuk memerangi lanun dan rompakan bersenjata terhadap kapal-kapal di rantau ini.

Berdasarkan laporan tahunan Pusat Perkongsian Maklumat (ISC) Perjanjian Kerjasama Serantau bagi Memerangi Kegiatan Lanun dan Rompakan Kapal (ReCAAP) bagi 2014, sebanyak 183 insiden dilaporkan pada 2014, peningkatan 22 peratus berbanding 2013.

Peningkatan insiden lanun dan rompakan bersenjata terhadap kapal-kapal di Asia termasuk insiden menyedut keluar minyak.

Andrew Tan, ketua eksekutif Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata, "Singapura tetap bimbang tentang keadaan insiden kegiatan lanun dan rompakan di laut.

"Kami menggesa semua pihak berkepentingan untuk bekerjasama rapat bagi membendung keadaan. Singapura bersedia untuk bekerjasama dengan negara-negara pesisir pantai bagi mengukuhkan penyelarasan antara agensi-agensi penguatkuasa," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh MPA.

Beliau menambah, "kami juga memuji usaha ReCAAP ISC melibatkan kerajaan-kerajaan serantau dan pihak berkuasa maritim untuk memberi maklumat yang tepat dan relevan serta analisis insiden".

Usaha seperti itu membuktikan komitmen oleh ReCAAP ISC dan Pihak-pihak Terikat dengan ReCAPP termasuk Singapura bagi membendung dan mengawal kegiatan lanun dan rompakan di laut di Asia.

Pihak Terikat dengan FReCAPP dan menjadi hos bagi Pusat Perkongsian Maklumat ReCAAP (ISC) sejak penubuhannya pada 2006, Singapura menghadiri Mesyuarat Majlis Pentadbir ReCAPP ISC kesembilan selama tiga hari yang berakhir Khamis.

Tahun ini, Mesyuarat Majlis Pentadbir dihadiri oleh 19 orang anggota.

Kemajuan yang menggalakkan dicapai oleh Gabenor, pada Mesyuarat Majlis Pentadbir mengenai hala tuju masa depan ReCAAP ISC.

Isu yang dibincangkan termasuk bagaimana ReCAAP ISC boleh meletakkan dirinya sebagai pusat kecemerlangan untuk perkongsian maklumat yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.