Lapan kanak-kanak berusia antara 18 bulan dan 15 tahun ditemui mati di sebuah rumah di bandar Cairns, Australia, kata polis pada Jumaat.

"Detektif di Cairns telah berada di lokasi kejadian dan memulakan siasatan ke atas kematian lapan kanak-kanak itu pagi ini," kata polis.

"Ketika pemeriksaan, polis menemui mayat kanak-kanak berusia di antara 18 bulan dan 15 tahun."

Seorang wanita, 34, ditemui cedera dalam insiden di subbandar Manoora, 10 minit perjalanan dari pusat bandar.

Dia berada dalam keadaan stabil di hospital dan sedang membantu detektif dalam siasatan, kata polis.


Associated Press Australia memetik sepupu wanita itu, Lisa Thaiday, sebagai berkata mangsa kanak-kanak itu merupakan adik beradik dan wanita terbabit ialah ibu mereka.

Laporan itu turut menyatakan seorang lagi saudara kandung mangsa berusia 20 tahun yang terkejut dengan penemuan mayat adik-adiknya selepas pulang ke rumah.

Laporan menyebut bahawa kanak-kanak itu telah ditikam, manakala Cairns Post pula melaporkan mangsa turut lemas akibat ditekap, namun polis belum mengesahkannya.

Sky News berkata bapa tiri mangsa juga tinggal di rumah itu, namun tidak mengetahui di mana dia berada.