SYDNEY: Lapan remaja didakwa atas pertuduhan membunuh seorang lelaki berusia 21 tahun di Brisbane, Australia pada akhir Julai, lapor Xinhua.
Polis menemukan mangsa dengan kecederaan serius di kepala selepas menerima panggilan mengenai satu kekecohan besar membabitkan sekumpulan individu di selatan Brisbane pada awal pagi 26 Julai.
Mangsa kemudian dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal sebelum meninggal dunia pada 1 Ogos.
Menurut kenyataan polis, empat lelaki masing-masing tiga daripadanya berusia 18 tahun dan seorang lagi 17 tahun ditahan pada Ahad sebelum didakwa atas pertuduhan membunuh.
Penahanan itu menyusuli tindakan sama terhadap empat lagi individu, iaitu dua berusia 19 tahun dan dua lagi 18 tahun, pada Khamis selepas siasatan menyeluruh dijalankan berhubung kejadian berkenaan.
Polis sebelum ini memaklumkan bahawa anggota yang tiba di lokasi pada 26 Julai turut menemukan kerosakan teruk pada beberapa kenderaan dan sebuah kediaman.
-- BERNAMA-XINHUA