DUNIA
[LAPORAN KHAS] 20 tahun Helsinki: Aceh ubah haluan ekonomi ke Malaysia, intai peluang serantau
![[LAPORAN KHAS] 20 tahun Helsinki: Aceh ubah haluan ekonomi ke Malaysia, intai peluang serantau [LAPORAN KHAS] 20 tahun Helsinki: Aceh ubah haluan ekonomi ke Malaysia, intai peluang serantau](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-10/61759491295_AcehPulauPinang.jpg)
Menurut Naufal, visi Gabenor Mualim pada hari ini juga sangat terbuka, untuk membuka peluang terhadap siapa saja yang sudi bekerjasama dengan Aceh. - Gambar Aceh Regional Secretariat
BANDA ACEH: Dua dekad selepas perdamaian, Aceh kini membuka lembaran baharu, bukan lagi tentang konflik bersenjata tetapi bagaimana negeri itu memanfaatkan hasil bumi dan komoditinya untuk pembangunan ekonomi serantau.
Dari kopi Gayo ke minyak nilam, dari kelapa sawit ke bijih besi, Aceh kaya dengan komoditi unggul, namun persoalannya sejauh mana limpahan hasil itu dapat dinikmati lebih lima juta penduduknya.
Pada Ogos lalu, Gabenor Aceh Muzakir Manaf atau lebih dikenali sebagai Mualem mengikrarkan arah baharu ekonomi Aceh dengan menjadikan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sebagai tumpuan utama.
Ucapan itu bukan sahaja simbolik tetapi mencerminkan aspirasi baharu rakyat Aceh sebagai dasar pandang ke Malaysia, bukan lagi wilayah negeri jiran seperti Medan atau Jakarta.Namun ada yang melihat keperluan perancangan lebih jelas, terutama soal persiapan komoditi dan sistem penghantaran barang, seperti Pengasas Aceh Documentary, Azhari Abdul Ghani mempersoalkan sama ada Aceh benar-benar bersedia membina hubungan dagangan dua hala.
“Kalau mahu dibangunkan pengangkutan dari Aceh ke Malaysia, barangan apa yang akan dikirim? Itu difikirkan atau tidak oleh kerajaan negeri?” soalnya.
Melalui visi itu, kerajaan Aceh menggerakkan syarikat berkaitan negeri, Pembangunan Aceh (PEMA) sebagai pemacu utama strategi ekonomi baharu, menurut Pengarah Pembangunan PEMA Naufal Natsir Mahmud berkata visi yang dibawa oleh Mualem sangat terbuka.
“Kita melihat visi Gabenor kami pada hari ini juga sangat terbuka, untuk membuka peluang terhadap siapa saja yang sudi bekerjasama dengan kami (Aceh),” katanya.
PEMA kini sedang berusaha untuk membangunkan laluan laut antara Aceh dan Pelabuhan Klang serta Pelabuhan Pulau Pinang.
Tambah Naufal, eksport komoditi Aceh boleh dilakukan melalui Pelabuhan Krueng Geukueh ke Pulau Pinang sebagai pusat transshipment sebelum dihantar ke negara lain.
“Rantai bekalannya akan lebih pendek dan lebih efisien,” katanya.
Selain itu, Naufal turut menekankan, potensi besar komoditi Aceh yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.
“Sektor ladang, perikanan serta minyak nilam merupakan komoditi utama Aceh, Malaysia berpotensi mempromosikan komoditi ini ke pasaran yang lebih luas kerana mempunyai rangkaian yang lebih kukuh,” katanya.
Statistik perdagangan luar negeri Aceh 2024 menunjukkan nilai eksport ke Malaysia berjumlah AS$14.62 juta atau RM66.91 juta, namun manfaat sebenar kepada lima juta penduduk Aceh masih menjadi tanda tanya.
Dalam pada itu, Ketua Badan Reintegrasi Aceh, Jamaluddin menegaskan, hasil itu belum cukup untuk mengangkat taraf ekonomi rakyat Aceh secara keseluruhan.
“Dari segi populasi, pertumbuhan ekonomi bagi lima juta penduduk Aceh masih rendah, ia tidak akan meningkat hanya bergantung kepada hasil komoditi, pasaran Malaysia lebih terjamin berbanding Medan atau Jakarta yang lebih jauh,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Komersial PEMA, Faisal Ilyas berkata hubungan Aceh dengan Malaysia mesti diperkukuhkan menerusi laluan baharu perdagangan.
“Pada akhirnya kita harus lebih banyak terhubung, terutama dari sektor ekonomi dan pertukaran komodit..ini menjadi jalan baru, peta baru untuk jalinan hubungan ekonomi,” jelasnya.
Hubungan Aceh-Malaysia bagaimanapun bukan semata-mata soal dagangan, kerana ia berpaut pada sejarah konflik, migrasi dan solidariti yang panjang.
Penyelaras kontraS, Azharul Husna mengingatkan kembali hubungan itu sudah berakar sejak zaman konflik.
“Semasa konflik, ramai masyarakat Aceh menjadi pelarian di Malaysia, hingga hari ini hubungan itu masih terjalin termasuk dengan peranan wartawan Malaysia yang terus mengangkat isu Aceh,” katanya.
Malaysia turut memainkan peranan penting dalam proses perdamaian Aceh, khususnya dalam rundingan Helsinki yang membawa kepada MoU 2005.
Bekas perunding Gerakan Aceh Merdeka (GAM), M. Nur Djuli mengingatkan bahawa Malaysia adalah lokasi persiapan utama sebelum rundingan itu dimeterai.
“Semasa kita mempersiapkan rundingan Helsinki pada pusingan ketiga, kita sudah tahu akan ada perjanjian, maka kita perlu memanggil wakil-wakil Aceh, dan tempat paling dekat ketika itu ialah Malaysia,” katanya.
Beliau menambah, peranan Malaysia jarang disebut tetapi sebenarnya amat signifikan.
“Tanpa Malaysia, memang kami tidak mampu (adakan rundingan), peranan Malaysia ini bukan sahaja signifikan tetapi kunci utama sebenarnya ada pada Malaysia,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami