MOSCOW: Larangan ke atas import uranium dari Rusia ke Amerika Syarikat (AS) akan menjejaskan ekonomi AS dengan lebih teruk daripada ekonomi Rusia dan dasar sekatan pentadbiran Presiden Joe Biden tidak membawa hasil, kata Duta Rusia ke AS Anatoly Antonov, lapor Sputnik.

Pada Isnin, Biden menandatangani Akta Melarang Import Uranium Rusia, yang melarang import uranium Rusia sehingga 2040.

"Tanpa keupayaan pengayaan kebangsaan, Washington sedang menjejaskan ekonominya. Tambahan pula, kerugian dari segi kewangan untuk Amerika Syarikat lebih tinggi daripada Rusia," kata Antonov kepada media.

Beliau juga berkata dasar sekatan pentadbiran (Biden) tidak membawa hasil seperti yang diharapkan. Akta itu mengehadkan import uranium pengayaan rendah dikeluarkan di Rusia atau syarikat berpangkalan di Rusia.

Pada masa sama, akta itu membenarkan Setiausaha Tenaga AS dengan koordinasi Setiausaha Negara dan Ketua Jabatan Perdagangan AS untuk menarik balik sekatan itu jika sumber lain uranium tidak diperoleh atau import bahan api nuklear Rusia adalah satu kepentingan kepada AS.

--BERNAMA-SPUTNIK