Skip to main content

Dunia

Lawatan Anwar ke Keralam, Bandar Calicut jadi tumpuan

Bandar calicut
Kehadiran delegasi Malaysia serta liputan media berkaitan program Perdana Menteri turut menjadikan Calicut lokasi penting sempena lawatan Anwar ke India, khususnya di selatan India. - Bernama
Advertisement

KERALAM, INDIA: Bandar Calicut, yang turut dikenali sebagai Kozhikode di Keralam menjadi tumpuan menjelang lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negeri ini esok selepas menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-18.

Tinjauan Bernama di sekitar Calicut hari ini mendapati bandar itu sibuk dengan aktiviti harian seperti biasa, manakala tumpuan terhadap lawatan Perdana Menteri semakin meningkat susulan perkembangan berkaitan jadual lawatan beliau.

Anwar dijadual bertemu Mufti Besar India Sheikh Abubakr Ahmad esok untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pembangunan komuniti, kemajuan pendidikan dan keharmonian antara agama.

Pada Isnin, Perdana Menteri dijadual bertemu Ketua Menteri V. D. Satheesan dan Gabenor Keralam Rajendra Vishwanath Arlekar untuk memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan Keralam dalam sektor utama seperti perdagangan dan pelaburan, pelancongan, penjagaan kesihatan, serta pendidikan.

Kehadiran delegasi Malaysia serta liputan media berkaitan program Perdana Menteri turut menjadikan Calicut lokasi penting sempena lawatan Anwar ke India, khususnya di selatan India. 

Calicut atau Kozhikode mempunyai banyak sejarah sebagai pusat perdagangan dan pernah menjadi antara pelabuhan penting di sepanjang Pantai Malabar, khususnya bagi perdagangan rempah dengan pedagang dari pelbagai wilayah.

Kozhikode turut mempunyai kedudukan penting dalam sejarah dunia susulan penemuan laluan laut ke India pada 1498 oleh pelayar Portugis Vasco da Gama, yang berlabuh di Pantai Kappad bersama tiga kapal dan 170 kru. 

Sebuah monumen turut didirikan di Kappad bagi memperingati peristiwa bersejarah itu.

Anwar tiba di New Delhi pada Jumaat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 yang dihoskan Perdana Menteri India Narendra Modi serta mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dengan Modi di Hyderabad House, iaitu Rumah Tetamu Negara, selain bertemu Presiden Iran Masoud Pezeshkian dan Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed di luar persidangan berkenaan.

Selesai mengadakan lawatan ke Keralam, Perdana Menteri dijadual berlepas ke Maldives pada 14 Sept.

-- BERNAMA/R. Ratcharathan

Must Watch Video

Advertisement