Skip to main content

Dunia

Lawatan Raja Charles ke AS diteruskan seperti dirancang

King Charles & Presiden Trump
Difahamkan beberapa pelarasan operasi akan dibuat terhadap satu atau dua acara diraja sepanjang lawatan itu, namun keseluruhan perancangan kekal seperti yang digariskan sebelum ini. - Gambar fail

LONDON: Program lawatan negara Raja Britain Raja Charles III ke Amerika Syarikat (AS) akan “diteruskan seperti dirancang” selepas perbincangan di kedua-dua belah Atlantik susulan insiden yang disifatkan Rumah Putih sebagai cubaan membunuh Presiden Donald Trump, lapor PA Media/dpa.

Aturan keselamatan Raja Charles dan Permaisuri Camilla dibincangkan susulan insiden keganasan pada Sabtu di majlis makan malam media di Washington, apabila Trump, Wanita Pertama dan pegawai kanan pentadbirannya dibawa keluar dari dewan oleh Perkhidmatan Rahsia selepas tembakan dilepaskan.

Advertisement

“Selepas perbincangan di kedua-dua belah Atlantik sepanjang hari ini, dan berdasarkan nasihat kerajaan, kami boleh mengesahkan lawatan negara oleh Baginda berdua akan diteruskan seperti dirancang.

“Raja dan Permaisuri amat berterima kasih kepada semua pihak yang bekerja pantas bagi memastikan perkara ini dapat diteruskan dan menantikan lawatan itu bermula esok,” kata Jurucakap Istana Buckingham.

Difahamkan beberapa pelarasan operasi akan dibuat terhadap satu atau dua acara diraja sepanjang lawatan itu, namun keseluruhan perancangan kekal seperti yang digariskan sebelum ini.

Raja Charles dan Permaisuri Camilla dijadual tiba di Washington pada Isnin untuk lawatan empat hari sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS serta bagi mengukuhkan hubungan istimewa United Kingdom-AS, yang mengalami tekanan serius sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Lawatan itu merupakan kunjungan luar negara paling penting dalam pemerintahan Raja Charles setakat ini, namun kini turut dibayangi kebimbangan keselamatan susulan insiden itu.

Ketua Setiausaha kepada Perdana Menteri, Darren Jones, sebelum ini berkata perbincangan mengenai keselamatan akan berlangsung pada Ahad dan dalam beberapa hari akan datang.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

Must Watch Video