Skip to main content

Malaysia

Pekebun warga emas didakwa bunuh tiga individu

KOTA TINGGI, 27 April -- Seorang pekebun warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh tiga individu minggu lepas.  Tertuduh, Lim Lian, 71, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nur Khalida Farhana Abu Bakar.  Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tiada jaminan ditawarkan memandangkan kes berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Gambar/ Bernama

KOTA TINGGI: Seorang pekebun warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh tiga individu minggu lepas.

Tertuduh, Lim Lian, 71, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nur Khalida Farhana Abu Bakar.

Advertisement

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, Lim didakwa membunuh wanita warga Vietnam Tra Thi Rang, 37, dan dua warga tempatan, Wong Poh Soon, 61, dan Chien Kwa Hai, 64, di sebuah restoran di Jalan Delima, Taman Kota Jaya, kira-kira 1.30 petang, 19 April lepas.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Eizlan Azhar memohon tarikh sebutan dalam tempoh dua minggu bagi membolehkan pihaknya mendapat izin agar kes itu dapat dipindahkankepada tertuduh yang diwakili peguam Belinda Low, ke Mahkamah Tinggi.

Tiada jaminan ditawarkan memandangkan kes berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Tertuduh diwakili peguam Belinda Low,.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pada 19 April lepas, Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad dalam satu kenyataan berkata dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing ditemukan maut akibat ditembak di sebuah restoran di Kota Tinggi.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 1.30 tengah hari, 19 April dan kesemua mangsa dipercayai ditembak menggunakan senjata api jenis shotgun serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ab Rahaman berkata tertuduh mempunyai lesen sah senjata api bagi tujuan menjaga kebun daripada musuh tanaman.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video