Lawatan Trump ke Jepun bakal buka lembaran baharu

Trump berucap di Pangkalan Tentera Laut Yokosuka di selatan Tokyo sambil diperhatikan Takaichi.
Pemimpin Amerika Syarikat dan Jepun bersepakat untuk membawa hubungan antara kedua-dua negara ke era emas yang baharu.
Komitmen berkenaan dinyatakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi dalam pertemuan empat mata pada Selasa.
Dalam ucapan beliau, Takaichi menzahirkan penghargaan kepada Presiden AS itu atas “komitmen teguhnya terhadap keamanan dan kestabilan dunia”.
Takaichi turut menzahirkan kesediaan Jepun untuk membolehkan “pakatan terbesar di dunia” memainkan peranan yang lebih strategik di peringkat serantau dan global.
“Sebagai pemimpin Jepun, saya akan terus berusaha untuk memperkukuh kekuatan nasional Jepun, iaitu dalam bidang diplomasi dan keupayaan pertahanan, kekuatan ekonomi, teknologi, perisikan serta sumber daya manusia,” jelas Takaichi.
Takaichi turut memaklumkan kepada pihak AS bahawa beliau akan mencalonkan Trump untuk Anugerah Keamanan Nobel atas usahanya selaku pengantara dalam pelbagai konflik.
Selepas selesai pertemuan empat mata berkenaan, kedua-dua pemimpin dan delegasi masing-masing mengadakan kunjungan ke USS George Washington yang berpangkalan di Pangkalan Tentera Laut Yokosuka untuk perjumpaan bersama anggota tentera AS yang bertugas di sana.
Trump, dalan ucapan beliau, turut mengumumkan penghantaran perluru berpandu buatan AS untuk pasukan keselamatan Jepun.
“Ini adalah kelompok pertama peluru berpandu yang akan diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Diri Jepun untuk pesawat F-35 mereka. Ianya akan tiba minggu ini, jadi ia lebih awal dari yang dijadualkan. Saya turut memberitahu Perdana Menteri (Takaichi), mereka sudah lama menantikan peluru berpandu itu, dan kami mendapatkannya dengan segera,” jelas Trump.
Trump kini di Jepun dalam siri jelajah Asia selama lima hari.
Beliau tiba di Kuala Lumpur pada Ahad untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang-sidang Berkaitan serta bakal mengakhiri elajahnya ke Asia dengan menghadiri Sidang Kemuncak APEC di Korea Selatan yang bakal bermula Jumaat ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


