TEHRAN: Lebih 1,000 kanak-kanak Palestin di Gaza terpaksa diamputasi selepas mengalami kecederaan parah akibat serangan tentera rejim Zionis di Semenanjung Gaza dalam tempoh 100 hari lepas, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Isnin.

Jurucakapnya James Elder berkata bantuan kemanusiaan adalah terlalu sedikit dan agak sukar untuk menyediakan perkhidmatan bantuan dan ada pesakit yang meninggal dunia kerana kekurangan ubat, lapor Agensi Berita Iran (IRNA).

"Risiko yang tidak boleh diterima ini berlaku pada ketika sistem makanan dan kesihatan di Semenanjung Gaza sedang di ambang keruntuhan.

"Lebih 80 peratus kanak-kanak mengalami kemiskinan makanan yang teruk dan lebih dua pertiga hospital tidak lagi berfungsi kerana kekurangan bahan api, air dan bekalan perubatan penting atau kerana mereka mengalami kerosakan teruk dalam serangan," katanya.

-- BERNAMA