PARIS: Polis antirusuhan bertempur dengan kumpulan pelajar ketika protes berhubung isu pendidikan yang semakin memuncak di seluruh Perancis, dengan lebih 700 sekolah terjejas dan 1,747 individu ditahan setakat Jumaat.
Bantahan yang bermula di Paris minggu lalu itu kini merebak ke beberapa bandar lain termasuk Montpellier, Nantes dan Marseille, apabila ribuan pelajar membantah kekurangan guru, bilik darjah yang sesak serta keadaan sekolah yang dianggap uzur.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez, berkata pihak berkuasa mengambil tindakan tegas susulan peningkatan insiden keganasan dan gangguan ketenteraman awam.
"Kita kini sedang menyaksikan peralihan kepada rusuhan dan keganasan bandar, dan segala kaedah yang sesuai digunakan untuk menamatkannya," katanya kepada saluran televisyen TF1.
Sementara itu, Menteri Kehakiman, Gerald Darmanin, berkata sebanyak 735 daripada kira-kira 3,700 sekolah di negara itu terjejas oleh protes berkenaan dalam pelbagai bentuk.
Beliau menyifatkan keadaan itu telah berubah daripada demonstrasi pelajar sekolah kepada isu ketenteraman awam yang serius.
Menteri Pendidikan, Edouard Geffray, pula mendakwa pergerakan tersebut telah disusupi individu yang bukan dalam kalangan pelajar.
Menurutnya, beberapa guru memaklumkan bahawa individu yang terlibat dalam demonstrasi bukanlah pelajar sekolah mereka.
Kementerian Pendidikan Perancis memaklumkan sekurang-kurangnya 65 kakitangan sekolah cedera dalam gelombang protes berkenaan, selain berlaku kerosakan ketara terhadap harta benda sekolah akibat serangan ke atas pagar dan pintu masuk premis pendidikan.
Di Belfort, timur laut Perancis, seorang remaja berusia 17 tahun ditahan atas dakwaan cubaan membunuh selepas seorang anggota polis menjadi sasaran serangan ketika protes berlangsung.
Rakaman video yang disahkan media menunjukkan pegawai berkenaan dikejar sebelum terjatuh dan dipukul serta ditendang berulang kali.
Di kawasan pinggir bandar Pantin dekat Paris, polis melepaskan serangan balas dan membuat tangkapan selepas objek dilontarkan ke arah anggota keselamatan, manakala gas pemedih mata digunakan di Strasbourg bagi mengawal keadaan yang semakin tegang.
Beberapa tong sampah turut dibakar di Rennes dan Paris, manakala polis merampas pelbagai barangan berbahaya daripada penunjuk perasaan termasuk bom petrol, kapak dan mercun mortar.
Protes itu tercetus di tengah-tengah kemarahan pelajar terhadap cadangan pengurangan peruntukan yang dijangka menjejaskan sektor pendidikan menjelang pilihan raya presiden Perancis tahun depan.
Pelajar mendakwa waktu persekolahan terlalu panjang, bilik darjah terlalu panas dan kekurangan kakitangan menyebabkan suasana pembelajaran semakin terjejas.
Dalam perkembangan berkaitan, Darmanin berkata ibu bapa mungkin dipertanggungjawabkan terhadap kerosakan yang dilakukan oleh anak-anak mereka dan diminta membayar kos pembaikan.
Walaupun berdepan tindakan tegas pihak berkuasa, beberapa kesatuan sekerja di Perancis terus menyatakan sokongan terhadap gerakan pelajar tersebut, dengan menegaskan hak pelajar untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan mereka.