TOKYO: Sebanyak 3,661 sekolah ditutup di 11 wilayah di seluruh Jepun pada Isnin akibat hujan lebat, menurut Kementerian Pendidikan, lapor Xinhua.
Ketika hujan lebat melanda timur Jepun dan kawasan lain sejak awal pagi Isnin, sekolah termasuk sekolah rendah, menengah rendah dan menengah atas serta universiti ditutup, dengan Chiba mencatatkan bilangan penutupan sekolah tertinggi iaitu 894, diikuti Tokyo dengan 739, Kanagawa (646), Fukushima (454) dan Tochigi (358), menurut kementerian itu.
Sementara itu, penggantungan perkhidmatan kereta api akibat hujan lebat menjejaskan lebih 140,000 orang di kawasan metropolitan Tokyo, menurut pengendali kereta api.
Laluan utama di Tokyo beroperasi dengan perkhidmatan dikurangkan kira-kira 20 hingga 30 peratus daripada tahap biasa pada awal pagi.
Seorang wanita berusia lingkungan 60-an disahkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta yang tenggelam di laluan bawah tanah di Iwaki, Wilayah Fukushima, menurut jabatan bomba tempatan.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran kecemasan tanah runtuh Tahap 5 bagi Kampung Niijima, Bandar Oshima dan Kampung Toshima di gugusan Kepulauan Izu di selatan Tokyo, tahap amaran tertinggi dalam skala satu hingga lima agensi itu.
JMA turut mengeluarkan amaran tanah runtuh Tahap 4 bagi beberapa kawasan di wilayah Chiba dan Saitama yang berhampiran ibu negara.
Pegawai cuaca memaklumkan hujan lebat dijangka berterusan sehingga sekitar Khamis, terutama di sepanjang pantai Pasifik dari barat hingga timur Jepun.
-- BERNAMA-XINHUA