Skip to main content

Dunia

Lebih 40 wilayah di Perancis di bawah amaran jingga ekoran cuaca panas

People cool off in the Trocadero fountain in front of the Eiffel Tower as temperatures rise in Paris during a heatwave affecting a large part of France, June 23, 2026. REUTERS/Abdul Saboor
Perkhidmatan cuaca kebangsaan Meteo-France meletakkan 43 wilayah di bawah amaran jingga, dengan suhu maksimum dijangka mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius. - Reuters
Advertisement

ISTANBUL: Lebih 40 wilayah di Perancis diletakkan di bawah amaran jingga pada Selasa ketika negara itu bersiap sedia menghadapi gelombang haba kelima sejak Jun, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Perkhidmatan cuaca kebangsaan Meteo-France meletakkan 43 wilayah di bawah amaran jingga, dengan suhu maksimum dijangka mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius.

Cuaca panas dijangka semakin ketara pada Rabu apabila suhu maksimum diramal mencecah 36 hingga 39 darjah Celsius, manakala 67 wilayah dijangka diletakkan di bawah amaran jingga.

Suhu tinggi turut diramal berterusan pada Khamis dan Jumaat, dengan bacaan antara 35 hingga 39 darjah Celsius di kebanyakan kawasan dan boleh mencecah 40 darjah Celsius di sesetengah tempat.

Ketika Perancis berdepan gelombang haba kelima sejak Jun, paras air turut menyusut susulan kemarau yang berpanjangan.

Pengarah Penyelidikan Ekologi Akuatik di institut penyelidikan Inrae, Thibault Datry berkata keadaan sungai kini semakin cetek. 

“Semua sungai di Perancis berada pada paras amat rendah. Air tidak mencukupi untuk memastikan aktiviti pelayaran sungai dapat diteruskan,” katanya kepada penyiar BFM.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement