Skip to main content
Advertisement

Dunia

Lebih 900 halangan jejas akses bantuan di Tebing Barat - PBB

The United Nations said on Thursday (August 13) that civilian casualties in Ukraine reached their highest monthly level since March 2022, as fighting continued to take a heavy toll on the population.
Daniela Gross De Almeida (foto) memberitahu pemberita bahawa sekatan berkenaan mengehadkan akses kemanusiaan dan menyebabkan mereka yang memerlukan tidak mendapat bantuan secukupnya. -Gambar fail/Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Operasi kemanusiaan di Tebing Barat yang diduduki berdepan kelewatan dan dihadkan oleh rangkaian lebih 900 halangan fizikal, termasuk pusat pemeriksaan, pintu pagar dan sekatan jalan raya, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi.

Jurucakap Bersekutu PBB Daniela Gross De Almeida memberitahu pemberita bahawa sekatan berkenaan mengehadkan akses kemanusiaan dan menyebabkan mereka yang memerlukan tidak mendapat bantuan secukupnya.

“Rakan kemanusiaan kami memberi amaran bahawa kerja bantuan berdepan kelewatan dan dihadkan oleh rangkaian lebih 900 halangan fizikal termasuk pusat pemeriksaan, pintu pagar, sekatan jalan raya dan sekatan lain. Keadaan ini menghalang akses kemanusiaan dan menyebabkan penduduk yang memerlukan tidak mendapat bantuan secukupnya,” kata De Almeida.

Di Kampung Qusra berhampiran Nablus, petugas bantuan dan pihak perbandaran tidak dapat mengakses kediaman tiga keluarga Palestin yang terperangkap sejak Selasa, kata De Almeida sambil menambah bahawa keluarga berkenaan kini terasing susulan pembinaan sebuah pos penempatan berhampiran kediaman mereka dan sekatan akses yang diperketatkan di kawasan itu.

“Rakan sekerja kami memberi amaran bahawa usaha melindungi rakyat Palestin tidak berkesan, dengan peneroka haram dilaporkan memasang semula sebuah khemah yang telah dibongkar tentera Israel semalam,” katanya.

Mengenai Gaza, beliau berkata petugas kemanusiaan terus menyalurkan bantuan penting kepada penduduk di Semenanjung Gaza yang dikepung, meskipun berdepan keadaan tidak selamat dan sekatan yang berterusan.

“Minggu lepas, kami bersama rakan kerjasama menggerakkan bantuan segera kepada mereka yang kehilangan tempat perlindungan atau sekali lagi kehilangan tempat tinggal akibat serangan, kebakaran di kediaman dan insiden lain. Dalam lebih sedozen insiden yang dilaporkan, penduduk kehilangan tempat tinggal dan barangan milik mereka akibat serangan, menjejaskan hampir 290 isi rumah,” katanya.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement