SEORANG lelaki bersenjata menyerbu masuk ke sebuah bank di ibu negara Lubnan dan menjadikan kira-kira tujuh pekerja bank itu sebagai tebusan pada Khamis.

Selain melepaskan tiga tembakan, suspek turut mengancam untuk membakar diri dengan petrol jika tuntutan untuk mendapatkan wang miliknya yang dibekukan tidak dipenuhi.

Kejadian berlaku di Bank Persekutuan di Jalan Hamra, Beirut.

Menurut laporan AFP, difahamkan wang simpanannya yang dibekukan berjumlah lebih AS$200,000  (RM889,000).

Laporan itu juga menyebut, rundingan antara pihak berkuasa dengan suspek sedang giat dijalankan, namun setakat ini belum menemui penyelesaian.

Lelaki berkenaan dikatakan bertindak demikian bagi mendapatkan semula wangnya untuk membiayai pembedahan rawatan bapanya.

Dalam paparan video yang tular di media sosial, lelaki berkenaan berkeras meminta pihak bank memberikan semula akses ke atas keseluruhan wang simpanan miliknya daripada akaun yang telah dibeku.

"Abang saya mempunyai AS$210,000 (RM933,450) di bank dan mahu mendapatkan hanya AS$5,000 (RM22,225) untuk membayar bil hospital," menurut adiknya, Atef al-Cheikh Hussein.

Ketika ini, anggota keselamatan, tentera serta polis, selain ejen keselamatan khas mengepung kawasan sekeliling bank berkenaan.

Orang ramai yang berada di luar bangunan turut menggesa agar pihak bank memulangkan semula wang milik lelaki tersebut demi menjamin keselamatan nyawa pekerja yang dijadikan tebusan.

Mereka turut melaungkan slogan antikerajaan.

Berdasarkan laporan AFP lagi, krisis ekonomi yang dihadapi Lubnan sejak 2019 turut memaksa segelintir rakyatnya bertindak di luar jangka.

Ini sekali gus memaksa bank-bank tempatan negara itu melaksanakan birokrasi dan proses yang sukar untuk rakyatnya mendapatkan serta memindahkan wang.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 80 peratus rakyat Lubnan hidup dalam kemiskinan di tengah-tengah inflasi yang berleluasa dan pemotongan bekalan elektrik yang berpanjangan.