DUNIA
Lelaki cedera terkena tembakan semasa berbasikal di kawasan latihan SAF

Polis dimaklumkan mengenai insiden itu oleh Hospital Universiti Nasional (NUH), selepas dibawa oleh rakan-rakannya untuk mendapatkan rawatan. - Gambar hiasan/Bernama
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 42 tahun cedera akibat terkena tembakan ketika berbasikal bersama rakan-rakannya di kawasan yang diwartakan untuk Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) melakukan latihan menembak peluru hidup pada Ahad (15 Jun).
Dalam kenyataan pada Isnin, Pasukan Polis Singapura (SPF) memaklumkan kejadian berlaku di kawasan Hutan Simpanan Kawasan Tadahan Air Tengah antara Empangan Upper Seletar dan Empangan Upper Peirce, sekitar 11.40 pagi.
Polis dimaklumkan mengenai insiden itu oleh Hospital Universiti Nasional (NUH), selepas dibawa oleh rakan-rakannya untuk mendapatkan rawatan.
"Sebutir peluru tersangkut pada bahagian kiri bawah belakang tubuh mangsa. Kecederaannya tidak mengancam nyawa dan mangsa kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru itu," menurut polis pada Isnin.Siasatan awal mendapati bahawa pada waktu kejadian, SAF sedang menjalankan latihan menembak peluru hidup di Lapang Sasar Nee Soon, kira-kira 2.3 kilometer dari lokasi kejadian.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan bahawa SAF sedang bekerjasama rapat dengan polis dan pihak berkuasa berkaitan untuk menyiasat dengan lebih lanjut insiden itu.
"Sebagai langkah berjaga-jaga, semua aktiviti latihan menembak peluru hidup di Lapang Sasar Nee Soon telah digantung," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
MINDEF menjelaskan bahawa orang awam tidak dibenarkan memasuki kawasan yang diwartakan untuk latihan menembak peluru hidup SAF demi keselamatan mereka sendiri.
Polis berkata kawasan itu mempunyai papan tanda amaran larangan masuk tanpa kebenaran.
Siasatan oleh polis dan SAF masih dijalankan. Buat masa ini, tiada unsur jenayah disyaki.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami