CALIFORNIA: Seorang lelaki yang menahan beberapa individu sebagai tebusan di dalam sebuah bank di California ditembak mati oleh ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) selepas kebuntuan berpanjangan, menurut pihak polis.
Jabatan Polis Bakersfield memaklumkan lelaki tersebut terbunuh dalam “insiden tembakan melibatkan pegawai penguat kuasa undang-undang bersama anggota FBI” pada Rabu.
Kejadian itu menamatkan situasi tegang yang bermula pada Selasa apabila suspek mengurung diri bersama beberapa tebusan di dalam bangunan berbilang tingkat Chase Bank di Bakersfield, kira-kira 177 kilometer di utara Los Angeles.
Polis pada awalnya bertindak balas terhadap laporan ancaman bom di lokasi tersebut.
Dua tebusan berjaya dibebaskan pada Selasa melalui rundingan, manakala baki tebusan dilepaskan pada Rabu tanpa mengalami sebarang kecederaan, menurut polis.
Pihak berkuasa tiba di lokasi sekitar jam 1 petang waktu tempatan selepas menerima panggilan mengenai ancaman bom dan laporan seorang lelaki mengurung diri bersama beberapa individu dalam bangunan berkenaan.
Susulan kejadian itu, Dewan Bandaraya Bakersfield, ibu pejabat polis, bangunan berhampiran serta beberapa jalan utama ditutup, sementara pasukan perunding cuba berhubung dengan suspek melalui telefon.
“Kami menggunakan semua sumber yang ada untuk memastikan situasi ini diselesaikan dengan selamat,” kata Sarjan Polis Bakersfield, Eric Celedon.
Beliau berkata pelbagai unit dikerahkan termasuk pasukan SWAT, unit pemusnah bom, anjing pengesan (K9), unit geng, perunding dan pasukan dron.
Pasukan Penyelamat Tebusan FBI turut berada di lokasi untuk membantu operasi.
Sementara itu, pihak Chase Bank memaklumkan bahawa mereka menyedari insiden yang berlaku di bangunan berkenaan dan sedang bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa.
Mereka turut menyatakan bahawa cawangan bank tersebut telah dikosongkan semasa kejadian.
Datuk Bandar Bakersfield, Karen Goh, turut memaklumkan bahawa beliau memantau perkembangan situasi berkenaan.