Skip to main content

Dunia

Lelaki tertua Eropah meninggal dunia pada usia 112 tahun

Vitantonio Lovallo
Lovallo dilahirkan pada Mac 1914, beberapa bulan sebelum bermulanya Perang Dunia Pertama. - Facebook Lovallo
Advertisement

ROM: Vitantonio Lovallo, lelaki tertua di Eropah, meninggal dunia pada usia 112 tahun, menurut pihak berkuasa di Avigliano di wilayah Basilicata, selatan Itali pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Bekas penternak biri-biri yang menetap di bandar di timur Naples itu dilahirkan pada Mac 1914, beberapa bulan sebelum bermulanya Perang Dunia Pertama. 

Malah selepas berusia 100 tahun, "Ziton", nama panggilannya, masih terus mengusahakan kebun anggurnya sendiri.

"Avigliano kehilangan sebahagian daripada sejarahnya hari ini," tulis Datuk Bandar Avigliano Giuseppe Mecca di Facebook. "Ziton adalah sebahagian daripada kami."

Isteri Lovallo meninggal dunia beberapa tahun lalu. Pasangan itu mempunyai empat anak.

Semasa Perang Dunia Kedua, Lovallo pada mulanya berkhidmat di barisan hadapan. Menurut laporan media Itali, beliau menjadi tawanan perang di Jerman dari 1943 hingga 1945.

Menurut senarai yang diselenggara Kumpulan Penyelidikan Gerontologi, lelaki tertua di Eropah kini ialah Joaquim Varela dari Portugal yang berusia 111 tahun. Bagaimanapun, dalam senarai individu tertua di Eropah, beliau hanya menduduki tempat ke-32, di belakang 31 wanita.

Senarai sama menyatakan individu tertua di Eropah dan dunia ialah wanita Britain Ethel Caterham yang berusia 117 tahun.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement