Sekurang-kurangnya dua pegawai polis Palestin terbunuh manakala ramai lagi cedera pada lewat Selasa dalam letupan berganda di Bandar Gaza, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Kementerian Dalam Negeri Palestin.

"Kedua-dua pegawai polis terbunuh manakala seorang lagi cedera dalam letupan yang berlaku berhampiran pusat pemeriksaan di kawasan Dahdouh di timur Bandar Gaza," kata jurucakap kementerian itu Iyad al-Buzm.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, pegawai polis yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Kementerian itu juga berkata ramai orang cedera dalam letupan kedua yang terkena sebuah pusat pemeriksaan polis di daerah Sheikh Ejleen dalam Bandar Gaza.

Punca kedua-dua letupan belum diketahui dan amaran agar semua pihak berada dalam keadaan berjaga-jaga telah diumumkan di seluruh Semenanjung Gaza.

Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh pula berkata keadaan adalah terkawal dan letupan sedemikian tidak akan melemahkan kestabilan penduduk.

"Gaza akan menangani dan mengatasi semua konspirasi. Mereka tidak akan berjaya melakukan apa yang mereka gagal capai melalui perang dan sekatan," kata Haniyeh dalam satu kenyataan.

Sambil menegaskan bahawa pihak yang terlibat dengan letupan itu akan ditemui, Haniyeh berkata pasukan keselamatan berupaya menangani sebarang keadaan.

-- BERNAMA