SEKURANG-kurangnya tujuh orang terbunuh dan lebih 50 cedera dalam satu letupan di Dhaka, ibu negara Bangladesh, pada Ahad.

Setakat ini, punca letupan yang berlaku di tingkat bawah bangunan tiga tingkat yang terletak di sebatang jalan yang sibuk di wilayah Moghbazar itu, masih belum diketahui.

Letupan tersebut berlaku pada sebelah petang dan anggota penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian.

Pesuruhjaya Polis Dhaka, Shafiqul Islam berkata, tujuh bangunan berdekatan dan tiga bas mengalami kerosakan akibat letupan tersebut.

Rakaman televisyen menunjukkan tiang dan perancah besi hancur, dengan serpihan kaca bertebaran di jalan raya.

Laporan media tempatan setakat ini hanya menyebut saluran gas rosak yang digunakan oleh kedai makan boleh menjadi punca di sebalik letupan itu.