INTERNATIONAL
Lima maut letupan besar di loji kimia China

Rakaman dron yang dikongsi oleh media tempatan menunjukkan kepulan asap keluar dari loji kimia tersebut serta sebuah lagi fasiliti berdekatan yang turut terjejas. - Foto AP
SHANDONG: Sekurang-kurangnya lima orang terkorban dan 19 lagi cedera dalam satu letupan besar di sebuah loji kimia di timur China pada Selasa.
Enam individu masih dilaporkan hilang selepas kejadian yang berlaku di Shandong Youdao Chemical, sebuah kilang yang terletak di bandar Weifang, wilayah Shandong.
Menurut laporan media tempatan, letupan itu berlaku sekitar 12 tengah hari waktu tempatan dan menyebabkan kepulan asap tebal berwarna hitam dan jingga membumbung ke udara.
Kesan letupan turut merosakkan tingkap bangunan berhampiran dan gegaran kuat dirasai sejauh lebih 7 kilometer dari lokasi kejadian.Lebih 230 anggota penyelamat telah dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengawal kebakaran dan menjalankan operasi mencari serta menyelamat.
Rakaman dron yang dikongsi oleh media tempatan menunjukkan kepulan asap keluar dari loji kimia tersebut serta sebuah lagi fasiliti berdekatan yang turut terjejas.
Loji Shandong Youdao Chemical, yang ditubuhkan pada tahun 2019, menghasilkan bahan kimia untuk kegunaan dalam industri racun perosak dan farmaseutikal.
Kilang ini mempunyai lebih 300 pekerja dan beroperasi di kawasan seluas 47 hektar.
Pihak berkuasa masih menyiasat punca letupan, dan penduduk berhampiran telah dinasihatkan untuk memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan pencemaran udara.
China mempunyai sejarah panjang berkaitan insiden letupan di loji kimia.
Pada tahun 2015, dua letupan besar di gudang bahan kimia di Tianjin mengorbankan lebih 170 orang dan mencederakan 700 yang lain, menyebabkan kerajaan memperketatkan undang-undang berkaitan penyimpanan bahan kimia.
Pihak berkuasa kini berusaha untuk mengawal kebakaran dan menentukan jumlah sebenar mangsa yang terjejas dalam tragedi terbaru ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami