Skip to main content

Dunia

Lubnan sokong pembaharuan mandat UNIFIL, sambut baik alternatif pasukan Eropah - Presiden

Lebanese President Joseph Aoun attends a press conference at the presidential palace in Baabda, Lebanon, February 16, 2026. REUTERS/Mohamed Azakir
Presiden Lubnan Joseph Aoun menyambut baik inisiatif Perancis-Itali untuk mewujudkan kehadiran antarabangsa selepas misi UNIFIL di negara itu berakhir. - Reuters
Advertisement

ISTANBUL: Presiden Lubnan Joseph Aoun berkata pada Isnin bahawa Beirut menyokong pembaharuan mandat Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), lapor  Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan.

Beliau juga menyambut baik inisiatif Perancis-Itali untuk mewujudkan kehadiran antarabangsa selepas misi UNIFIL di negara itu berakhir.

“Lubnan menyokong pembaharuan pasukan antarabangsa di selatan dan kami sedang bekerjasama dengan Presiden (Perancis) (Emmanuel) Macron untuk memudah cara pembaharuan berkenaan,” kata Aoun semasa pertemuan dengan Menteri Kehakiman Perancis Gerald Darmanin, lapor NNA.

Beliau turut menyambut baik inisiatif Perancis-Itali untuk membentuk pasukan Eropah bagi mengisi kekosongan susulan penarikan balik UNIFIL.

Aoun berkata beliau akan melawat Paris minggu depan untuk menyertai Macron pada pembukaan mesyuarat persediaan bagi persidangan antarabangsa menyokong tentera Lubnan dan Pasukan Keselamatan Dalam Negeri, serta membincangkan masa depan kehadiran antarabangsa di selatan Lubnan.

Perancis dan Itali mengumumkan inisiatif pada Jun untuk melancarkan gabungan antarabangsa, dengan penyelarasan bersama Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bertujuan membangunkan mekanisme bagi tempoh pasca-UNIFIL dan mengelakkan kekosongan keselamatan di selatan Lubnan.

Menteri Luar Itali Antonio Tajani kemudiannya berkata Rom boleh menyumbangkan tentera kepada misi antarabangsa pasca-UNIFIL, sambil menegaskan bahawa sebarang pengerahan memerlukan perjanjian pelbagai pihak.

Secara berasingan, EU merancang satu misi untuk memberi nasihat dan latihan kepada pasukan tentera Lubnan, termasuk dalam keselamatan sempadan dan maritim.

Ketua Dasar Luar EU Kaja Kallas berkata minggu lepas bahawa inisiatif itu tidak bertujuan menggantikan UNIFIL sebaliknya memperkukuh keupayaan Lubnan untuk menyediakan keselamatannya sendiri.

Aoun juga mengutuk serangan berterusan Israel ke atas Lubnan, termasuk pembunuhan orang awam serta kemusnahan rumah dan harta benda.

“Apa yang dilakukan Israel merangkumi serangan berulang kali, membunuh orang yang tidak berdosa, kanak-kanak dan wanita, memusnahkan dan membakar rumah serta meratakan harta benda adalah jenayah yang dikecam, ditolak dan tidak boleh diterima,” katanya.

Aoun berkata serangan itu “menyasarkan perjalanan  perjanjiian rangka kerja dan menjejaskan semua usaha yang dibuat untuk menghentikan ketegangan di selatan serta rantau ini secara keseluruhannya.”

Darmanin pula memuji reformasi yang dilaksanakan oleh Lubnan dan berkata Beirut “sentiasa boleh berharap kepada Perancis,” menurut NNA.

Lubnan dan Israel menandatangani perjanjian rangka kerja yang ditaja Amerika Syarikat pada 26 Jun susulan rundingan di Washington.

Perjanjian itu menggesa penarikan berperingkat tentera Israel dari wilayah Lubnan yang diduduki sebagai balasan kepada pengerahan tentera Lubnan dan pelucutan senjata kumpulan bersenjata.

Israel terus melancarkan serangan ke atas Lubnan walaupun perjanjiian itu telah dimeterai.

Menurut angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Lubnan pada akhir Ogos, serangan Israel sejak 2 Mac telah mengorbankan lebih 4,000 orang dan mencederakan lebih 12,000 yang lain.

UNIFIL beroperasi di selatan Lubnan sejak 1978. Mandatnya dijadualkan tamat pada penghujung 2026, sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai aturan keselamatan bagi tempoh pasca-UNIFIL.

Lubnan berulang kali menyatakan bahawa ia lebih suka misi itu kekal, namun terbuka kepada kehadiran antarabangsa alternatif jika mandatnya tidak dapat dilanjutkan.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement