MILAN: Polis Itali pada Ahad memaklumkan, lukisan-lukisan karya Renoir, Cezanne dan Matisse telah dicuri dari sebuah muzium di negara itu minggu lalu.
Menurut jurucakap polis kepada AFP, empat lelaki bertopeng memasuki vila milik Yayasan Magnani Rocca, berhampiran Parma di utara Itali, dan melarikan karya-karya tersebut pada malam Ahad minggu lalu, mengesahkan laporan rangkaian televisyen Rai.
Advertisement
Antara karya yang dicuri ialah “Fish” oleh Auguste Renoir, “Still Life with Cherries” oleh Paul Cezanne, dan “Odalisque on the Terrace” oleh Henri Matisse.
Pencuri dipercayai memecahkan pintu untuk memasuki sebuah bilik di tingkat pertama bangunan sebelum melarikan diri melalui taman muzium berkenaan.
Polis kini meneliti rakaman kamera litar tertutup muzium serta rakaman daripada premis perniagaan berdekatan, kata jurucakap itu.
Yayasan Magnani Rocca menempatkan koleksi milik ahli sejarah seni, Luigi Magnani, yang turut merangkumi karya-karya oleh Durer, Rubens, Van Dyck, Goya dan Monet. - Agensi