Skip to main content

Dunia

Machado mahu kembali ke Venezuela bantu mangsa gempa bumi

This aerial view shows workers searching through destroyed buildings in Caraballeda, La Guaira State, Venezuela, on Monday, June 29, 2026, following two major earthquakes. (Miguel Medina/Pool Photo via AP)
Pekerja penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat di celah bangunan yang musnah di Caraballeda, Negeri La Guaira, Venezuela, berdasarkan rakaman udara selepas gempa bumi yang melanda kawasan itu. - Foto AP
Advertisement

CARACAS: Pemimpin pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado, berkata beliau bertekad untuk kembali ke negara itu bagi membantu usaha pemulihan susulan gempa bumi berkembar yang melanda minggu lalu, walaupun mendakwa pihak berkuasa menghalang kepulangannya.

Machado, yang kini berada di Panama, berkata beliau bersedia melakukan apa sahaja yang perlu untuk memasuki semula Venezuela bagi menyelaras dan menggalakkan usaha bantuan rakyat ketika negara itu berdepan krisis kemanusiaan akibat bencana berkenaan.

“Saya akan berada di Venezuela untuk membantu menyelaraskan dan menggalakkan usaha rakyat sepanjang tempoh darurat ini,” katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di platform X.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai bagaimana beliau merancang untuk memasuki negara itu.

Machado sebelum ini hidup dalam persembunyian di Venezuela selepas mendakwa memenangi pilihan raya presiden 2024 yang dipertikaikan.

Pada Disember lalu, beliau dilaporkan meninggalkan negara itu secara rahsia menggunakan bot untuk ke Oslo bagi menerima Hadiah Keamanan Nobel sebelum kemudian menyerahkannya kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Hasrat Machado untuk pulang ke Venezuela turut mencetuskan ketegangan dengan beberapa pihak di Washington.

Menurut seorang pegawai White House, pemimpin pembangkang itu telah menghubungi beberapa pegawai pentadbiran AS, termasuk di White House, Jabatan Negara dan anggota Kongres, bagi mendapatkan sokongan untuk memudahkan kepulangannya.

Namun, beberapa pegawai AS dilaporkan berpandangan bahawa tumpuan utama ketika ini perlu diberikan kepada operasi bantuan dan pemulihan pasca gempa bumi yang telah meragut ratusan nyawa serta menyebabkan kemusnahan besar di negara Amerika Selatan itu.

Penahanan bekas Presiden Nicolas Maduro oleh pasukan AS pada Januari lalu telah mencetuskan jangkaan dalam kalangan penyokong pembangkang bahawa Machado, 58, akan memainkan peranan penting dalam pentadbiran negara.

Namun, Trump kemudiannya menyatakan sokongan kepada bekas timbalan Maduro, Delcy Rodriguez, dengan alasan Machado tidak mempunyai sokongan mencukupi untuk memimpin negara dalam tempoh terdekat.

Sebelum bencana gempa bumi berlaku, Machado pernah menyatakan hasrat untuk kembali ke Venezuela sebelum penghujung tahun ini.

“Pada saat ini, saya bersedia melakukan apa sahaja dan bercakap dengan sesiapa sahaja yang perlu demi menyelaras usaha serta berkhidmat kepada rakyat kami,” katanya.

Dalam reaksi ringkas kepada Reuters, Jabatan Negara AS berkata pihaknya ketika ini memberi tumpuan penuh kepada usaha menangani kesan gempa bumi yang memusnahkan Venezuela dan tidak mengulas mengenai permintaan Machado untuk mendapatkan bantuan bagi memudahcarakan kepulangannya. 
 

Must Watch Video

Advertisement