Skip to main content

Dunia

Macron akan temui pelajar ketika Perancis bersiap sedia hadapi tunjuk perasaan hujung minggu

Emmanuel Macron akan menerima kunjungan pelajar sekolah menengah serta wakil pertubuhan pelajar bagi mendengar tuntutan dan kebimbangan mereka. - Gambar fail
Emmanuel Macron akan menerima kunjungan pelajar sekolah menengah serta wakil pertubuhan pelajar bagi mendengar tuntutan dan kebimbangan mereka. - Gambar fail

Advertisement

PARIS: Presiden Perancis Emmanuel Macron dijadual bertemu dengan para pelajar buat kali pertama pada Jumaat menjelang tunjuk perasaan susulan peningkatan kos sara hidup dan keadaan sekolah yang kian merosot, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Macron akan menerima kunjungan pelajar sekolah menengah serta wakil pertubuhan pelajar bagi "mendengar tuntutan dan kebimbangan mereka", menurut Istana Élysée.

Sebagai usaha berterusan untuk menangani rungutan penunjuk perasaan, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mempercepatkan cadangan kenaikan gaji minimum, lapor akhbar Les Échos.

Kenaikan bernilai kira-kira €15 (AS$16) sebulan itu dijangka berkuat kuasa dalam masa terdekat dan bukannya pada Januari seperti yang dirancang sebelum ini.

Para pelajar telah mengadakan tunjuk perasaan selama beberapa minggu bagi menuntut pertambahan guru gantian, kemudahan sekolah yang lebih baik dan jadual waktu yang kurang padat.

Macron setakat ini belum pernah bertemu secara peribadi dengan para pelajar atau wakil pertubuhan mereka. Perdana Menteri Sébastien Lecornu dijadual mengadakan pertemuan sulung bersama wakil kumpulan pelajar sekolah dan universiti pada Isnin.

Tunjuk perasaan pelajar berlarutan menjadi protes yang lebih luas Sabtu lepas berhubung penurunan kuasa beli, sehingga mencetuskan pertempuran dan rusuhan di Paris serta bandar-bandar lain.

Menjelang tunjuk perasaan lanjut yang dirancang pada Sabtu ini, kerajaan mengenakan pelbagai sekatan bertujuan mengelakkan keganasan berulang.

Kementerian Dalam Negeri memaklumkan bahawa kawalan polis akan dipertingkatkan dan unit khas akan digerakkan bagi mengekalkan ketenteraman awam.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement