PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan yang dijatuhkan ke atas seorang bekas pemandu lori yang disabit dengan kesalahan mengedar 1.4645 kg methamphetamine.
Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais menolak rayuan Ahmad Fahmi Mohd Hasnu terhadap sabitan dan hukumannya.
Turut bersidang Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar.
Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu, Che Mohd Ruzima berkata Hakim Mahkamah Tinggi telah dengan betul menggunakan anggapan pengetahuan di bawah Seksyen 37 (d) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Ahmad Fahmi gagal mematahkan anggapan tersebut.
“Kami mendapati bahawa dadah berada di dalam sebuah beg dan beg itu adalah berada dalam milikan dan kawalan perayu (Ahmad Fahmi),” katanya yang memaklumkan mahkamah menolak hujahan pihak pembelaan bahawa dadah tersebut ditemukan di dalam kereta.
Che Mohd Ruzima berkata mahkamah mendapati dadah berkenaan bukannya ditemukan disembunyikan di mana-mana bahagian kereta yang dipandu perayu, tetapi ditemukan di dalam beg yang berada di tempat duduk belakang kanan keretanya.
Beliau berkata mahkamah memberi penekanan kepada beberapa fakta penting, iaitu perayu seorang diri memandu kereta tersebut pada masa kejadian, beg berada di tempat yang mudah dilihat dan perayu dilihat sedang menuju dan mencapai beg tersebut apabila serbuan dibuat.
“Oleh itu, tiada alasan untuk kami meminda sabitan daripada kesalahan pengedaran kepada pemilikan seperti mana dicadangkan oleh pihak perayu. Rayuan perayu ditolak, sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi serta disahkan oleh Mahkamah Rayuan dikekalkan,” katanya.
Pihak pembelaan telah berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila membangkitkan penggunaan anggapan pengetahuan di bawah Seksyen 37 (d) sedangkan penggunaan anggapan tersebut tidak boleh dibangkitkan terhadap dadah yang dijumpai di dalam sebuah kenderaan kerana sebuah kenderaan tidak terjumlah kepada definisi “anything whatsoever containing” (apa-apa sahaja yang mengandungi).
Pada 13 Mei, 2024, Mahkamah Tinggi telah mendapati Ahmad Fahmi, 39, bersalah dan disabitkan terhadap pertuduhan mengedar 1.4645 kg methamphetamine di kawasan apartment Rusella , Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, Selangor pada pukul 6.45 petang, 8 Oktober 2020.
Pada 24 Mac tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Ahmad Fahmi dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Pada prosiding hari ini, Ahmad Fahmi diwakili peguam Afifuddin Ahmad Hafifi manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim bagi pihak pendakwaan.
-- BERNAMA